Saya Ada Bukti Jadual Peperiksaan – Veveonah

VEVEONAH

Oleh NORA AHMAD
KOTA KINABALU: Penuntut Universiti Malaysia Sabah (UMS), Veveonah Mosibin menafikan kenyataan Timbalan Menteri Komunikasi dan Multimedia Zahidi Zainul Abidin yang mendakwanya tidak mengambil peperiksaan ketika memanjat pokok dalam videonya yang tular sebelum ini.

Memetik laporan Malaysiakini hari ini, Veveonah juga menyatakan dia tidak pernah berjumpa dengan Timbalan Menteri itu atau berbincang sebarang isu berkaitan masalah jalur lebar di kawasannya.

Veveonah dipetik sebagai berkata, apa yang dikatakan Timbalan Menteri itu palsu.

“Ya betul saya memang ada ambil peperiksaan yang seperti dalam video itu.

“Saya pun memang tidak ada jumpa dengan Timbalan Menteri itu dan tidak mempunyai apa-apa komunikasi dengannya,” katanya dalam laporan Malaysikini.

Mengulas lanjut, Veveonah berkata video tularnya itu turut mendapat pengesahan pihak UMS.

“Saya juga ada bukti dalam jadual tarikh untuk peperiksaan dan rakan-rakan saya juga tahu.

“Video tular itu juga sudah diketahui dan disahkan pihak Universiti. Takkan universiti mahu cakap saya palsu,” katanya.

Veveonah dilaporkan turut memberikan butiran berkenaan jadual peperiksaannya sebagai bukti bahawa dia ada peperiksaan ketika itu.

Terdahulu, Zahidi hari ini mendakwa, bahawa rakaman video Veveonah memanjat pokok untuk mendapat capaian internet bagi menduduki peperiksaan secara dalam talian di Pitas, Sabah, sebenarnya hanya sekadar untuk hiburan dan menaikkan tontonan rancangan Youtubenya.

Kenyataan itu timbul selepas Ahli Dewan Negara, Senator Datuk Donald Peter Mojuntin membangkitkan isu video Veveonah yang tular ketika bertanya tentang tindakan kerajaan bagi memastikan keseimbangan capaian internet di antara bandar dan luar bandar khususnya di Sabah menerusi sesi soal jawab sidang Dewan Negara, hari ini.

Sementara itu, beberapa rakan Veveonah turut menyangkal kenyataan Zahidi menerusi ciapan di Twitter berhubung isu itu.

Menurut pemilik akaun crhxyan_smiley yang mendakwa dirinya sebagai rakan sekuliahnya dalam pengajian Asasi UMS meminta netizen tidak mudah percaya dengan fitnah yang dilemparkan kepada Veveonah.

“Tolong jangan cepat percaya sangat dengan fitnah-fitnah ni okay. Veveonah was one of my batchmate for Asasi UMS. Memang betul kami ada exam from 9 June-12 June 2020. She posted her video on 13 June after finish her exam. Apa bukti kamu ada sekarang mau tuduh dia?,” katanya menerusi ciapan di akaun Twitter miliknya.

BERITA BERKAITAN :-

Kenyataan Terhadap Veveonah Biadap, Tidak Faham Situasi Di Sabah