
KOTA KINABALU : Setiap satu undi untuk Parti Warisan adalah undi untuk hak, kepentingan dan kesejahteraan rakyat Sabah, bukannya untuk bukannya untuk merealisasikan impian seorang ahli politik dari Malaya, kata pemimpin-pemimpin muda
Parti Warisan dari beberapa daerah hari ini.
Mereka turut tampil menyokong kenyataan Timbalan Presiden parti, Datuk Darell Leiking bahawa agenda mitigasi banjir negeri Sabah akan dijadikan antara syarat utama yang perlu diterima oleh mana-mana pihak yang mahu membentuk kerajaan campuran dengan parti itu dan Gabungan Parti Sarawak (GPS) di bawah konsep Blok Borneo (‘Borneo Bloc’).
Mereka juga memberikan kepercayaan penuh kepada Darell untuk membentangkan perkara itu jika sesi perundingan diadakan dengan gabungan atau pakatan yang mahu membentuk kerajaan campuran dengan Parti Warisan selepas PRU-15 nanti.
“Jika Pahang diberikan peruntukkan bernilai hampir RM16 billion dari Kerajaan Persekutuan dibawah Belanjawan 2023 yang mana RM1.8 billion telah diperuntukan untuk tujuan mitigasi banjir di negeri itu, mengapakah negeri Sabah tidak diberikan layanan yang sama?
“Saya pasti pemimpin-pemimpin Gabungan Rakyat Sabah (GRS) dan Barisan Nasional (BN) Sabah tahu tentang peruntukan untuk Pahang ini tetapi mengapa mereka berdiam diri sahaja? Adakah mereka takut rakyat Sabah akan menjadi marah jika perkara ini diketahui ramai?
“Adakah adil jika Sabah yang merupakan penyumbang Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) ke-5 terbesar kepada Malaysia mendapat peruntukan yang kecil sedangkan kita berhadapan dengan masalah banjir sebanyak 3 atau 4 kali setahun dimana setiap kali banjir ini terjadi, menyebabkan kemusnahan dan kerosakkan yang serius?” kata Ketua Bahagian Warisan Sipitang, Abdul Aziz Taip.
Bagi Ketua Wirawati Warisan Tenom, Rafidah Arkani, agenda mitigasi banjir negeri Sabah melalui Blok Borneo yang diutarakan oleh Parti Warisan adalah lebih penting kepada rakyat Sabah berbanding dengan agenda untuk menjadikan Anwar Ibrahim sebagai Perdana Menteri sepertimana yang diutarakan oleh Lim Kit Siang dan Presiden Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (UPKO), baru-baru ini.
“Kita perlu pastikan bahawa setiap undi yang kita buat adalah untuk kebajikan keluarga dan rakyat kita terlebih dahulu dan bukannya untuk merealisasikan impian seorang ahli politik dari Malaya.
“Pemimpin-pemimpin Malaya sebenarnya tidak memerlukan kita kerana jumlah kerusi di sana adalah lebih banyak dari Sabah.
“Jika pemimpin tersebut ialah pilihan penduduk-penduduk di Malaya untuk menjadi Perdana Menteri, maka secara lojiknya, dia akan mendapat sokongan yang besar dan tidak memerlukan Sabah dan Sarawak.
“Bukankah lebih baik kita kumpulkan undi untuk merealisasikan satu agenda yang berkaitan dengan kehidupan harian dan masa depan kita nanti?
Rafidah berkata berbeza dengan pandangan Lim Kit Siang dan Presiden UPKO, Parti Warisan melihat setiap undi rakyat Sabah sebagai sesuatu yang amat berharga kerana melalui undi inilah, perasaan cinta dan bangga rakyat Sabah terhadap negeri Sabah dapat diterjemahkan dalam bentuk yang konkrit,” katanya lagi.
Sementara itu, Timbalan Ketua Bahagian Parti Warisan Kota Belud, Charles Ebbie berkata keputusan yang dibuat oleh Timbalan Presiden Parti Warisan tersebut tepat pada masanya berikutan dengan kejadian banjir dan tanah runtuh yang semakin menjadi-jadi di negeri ini.
“Kejadian banjir dan tanah runtuh semakin kerap terjadi di Sabah dan kita tidak katakan yang Kerajaan GRS-BN tidak minta peruntukan untuk menangani masalah banjir di negeri ini – yang kita pertikaikan ialah mengapa Pahang dan lain-lain kawasan di Semenanjung Malaysia mendapat layanan istimewa kerana peruntukkan yang begitu besar sudah pastinya akan membolehkan projek-projek mitigasi disitu diselesaikan dengan segera manakala negeri Sabah pula mengambil masa sehingga 6 tahun!
“Lebih teruk lagi, ramai mangsa-mangsa banjir di negeri ini cuma mendapat bantuan sebanyak RM1,000 sahaja manakala mangsa-mangsa banjir di Semenanjung Malaysia pula mendapat bantuan sehingga RM65,000.
“Apakah ertinya mengundi calon-calon GRS dan BN Sabah jika selepas mereka menang PRU-15 kali ini, perkara yang sama akan berulang lagi tahun hadapan?
“Inilah sebabnya saya memberi kepercayaan penuh kepada Timbalan Presiden, Datuk Darell untuk membawa agenda mitigasi banjir ini ke sesi perundingan Parti Warisan dengan kumpulan-kumpulan yang mahu membentuk Kerajaan Campuran Malaysia melalui Blok Borneo.,” katanya.