Satu Lagi Loji Air Baharu Bakal Dibina Di Tambunan

107

TAMBUNAN: Sebuah loji air baharu bakal dibina di daerah ini sebagai persediaan jangka panjang bagi menangani masalah bekalan air yang dihadapi penduduk setempat.

Menteri Pembangunan Infrastruktur Sabah Datuk Peter Anthony berkata loji berkenaan akan dibina di Sungai Kirokot dan bakal menghasilkan bekalan air bersih empat juta liter sehari (MLD).

“Ketika ini Tambunan mempunyai satu loji di Kampung Tondulu yang boleh mengeluarkan 10 MLD dan ia dijangka tidak dapat menampung pengunaan masyarakat di kawasan ini pada musim hadapan disebabkan pertambahan penduduk,” katanya.

Bercakap kepada pemberita selepas majlis santai bersama Menteri Pembangunan Infrastruktur di Kampung Papar, dekat sini, katanya projek pembinaan loji itu masih dalam perancangan, dan ia dijangka dapat dilaksanakan tahun depan.

Mengulas mengenai program santai berkenaan, Peter berkata ia adalah program rutin beliau untuk berjumpa dengan penduduk khususnya masyarakat Kadazan Dusun Murut (KDM) di kawasan pedalaman Sabah.

Terdahulu pada majlis itu, Peter turut menyampaikan sumbangan berupa wang tunai serta kelengkapan kepada 36 warga emas di Mukum Lintun, Tambunan.