Sasaran Capai Dua Pertiga Perlu Sokongan Sabah, Sarawak

Oleh NORA AHMAD
KOTA KINABALU: Sasaran untuk mencapai kemenangan dua pertiga dalam Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) memerlukan sokongan padu daripada Sabah dan Sarawak.

Setiausa PAS Sabah, Dr Aliakbar Gulasan berkata, sasaran asas untuk mencapai kemenangan dua pertiga dalam PRU-15 akan datang sangat penting supaya program pembangunan akan lebih banyak dapat dirancang.

“Sasaran untuk mencapai kemenangan dua pertiga pastinya memerlukan sokongan padu daripada Sabah dan Sarawak.

“Sabah dan Sarawak merupakan dua negeri yang sangat penting untuk mencapai sasaran tersebut.

“Sokongan pelbagai pihak dan kaum mestilah padu dan menunjukkan kesatuan,” katanya dalam satu kenyataan media di sini, hari ini.

Sehubungan itu, Aliakbar yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) dilantik berkata, Sabah dan Sarawak tetap penting dalam apa sahaja keputusan sama ada berkaitan pilihan raya atau hal ehwal pembangunan negara.

Beliau dalam pada itu turut memberi jaminan bahawa PAS Sabah akan terus bekerjasama dengan Gabungan Rakyat Sabah (GRS).

“Bagi pihak PAS Sabah, saya beri jaminan kerjasama dalam Gabungan Rakyat Sabah (GRS) akan terus diutamakan,” katanya.