Sasar Kemajuan, Jauhi Elemen Rasuah – VK Liew

645
TALI GANTUNG – Liew ( tengah) melawat pameran daripada Jabatan Penjara cawangan Sandakan.

Oleh BORNEOTODAY
SANDAKAN: Ahli Parlimen P185 Batu Sapi Datuk Liew Vui Keong meminta penduduk Taman Seri Labuk disini agar menjauhi elemen berunsur rasuah dalam pada melaksanakan sebarang program dan aktiviti untuk kemajuan kawasan kejiranan.

Liew yang juga merangkap Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang) berkata, pendidikan awal tentang keburukkan gejala rasuah boleh diterapkan seawal usia kanak-kanak, menerusi pelbagai program dan aktiviti yang sesuai.

Liew, ketika dalam lawatan dan merasmikan Karnival Taman Seri Labuk disini kelmarin turut berkata, penyertaan aktif daripada penduduk dikawasan kejiranan dalam program karnival seumpama ini juga adalah salah satu petanda yang positif, dimana telah wujud permuafakatan sesama jiran. Justeru penerapan nilai-nilai murni harus diutamakan khususnya kepada golongan generasi muda.

‘BROTHERS’ – Liew bersama Big Brothers (Sandakan).

Tambah beliau, ini secara tidak langsung dapat membantu pihak penganjur untuk membuat pengisian program-program dengan lebih mudah, termasuk dalam merancang dan memohon sokongan pembangunan infrastruktur yang diperlukan.

Katanya, berkenaan dengan permohonan untuk mewujudkan satu gelanggang sukan futsal di Taman Seri Labuk, penduduk setempat juga sentiasa boleh merujuk atau mengemukakan sebarang permohonan bantuan dan khidmat nasihat kepada Pejabat Pusat Khidmat Rakyat P185 Batu Sapi, dimana terdapat lebih kurang 20 orang kakitangan yang sedia berkhidmat untuk rakyat.

Katanya lagi, pusat berkenaan merupakan satu lagi kemudahan yang disediakan oleh Parti Warisan Sabah yang diterajui oleh Presiden Parti Datuk Seri Shafie Afdal, yang juga merangkap Ketua Menteri Sabah. Pada masa yang sama Liew turut menyeru agar masyarakat memberikan sepenuh sokongan dan keyakinan serta kepercayaan kepada pimpinan Datuk Seri Shafie Afdal dalam memaju dan membangunkan sosioekonomi negeri Sabah.

TERTARIK – Ayam Serama berjaya ‘mencuri’ perhatian Liew.

Tedahulu Liew turut melawat pameran daripada peserta meliputi Jabatan Penjara Malaysia (Sandakan), Penternak Serama Sandakan, pameran kereta daripada Kenarianz Malaysia (Zon Sandakan), pameran motosikal daripada Big Brothers (Sandakan) serta melawat gerai-gerai jualan daripada penduduk setempat, disamping turut menyampaikan hadiah-hadiah kepada para pemenang pertandingan catur.

Turut hadir dalam karnival anjuran Kelab Catur Sandakano (Sandakan) ialah Timbalan Pengarah Jabatan Penjara Malaysia cawangan Sandakan Adriansyah, Pengerusi Kelab Catur Sandakano Andrian Mumin, serta Penyelaras Program Ustaz Mohd Zaim Zainal Mukhtar.