Saringan COVID-19 untuk pelajar baharu di Labuan

LABUAN: Jabatan Kesihatan Labuan akan melakukan segala usaha untuk memastikan lebih 2,000 pelajar baharu yang datang berdaftar di Kolej Matrikulasi Labuan di sini bebas daripada jangkitan COVID-19.

Pengarahnya, Dr Ismuni Bohari, berkata pasukan dari jabatannya akan melakukan saringan terhadap pelajar sama seperti semua penumpang yang tiba di pulau itu menerusi pengangkutan laut dan udara.

“Tidak ada perubahan dalam kaedah saringan. Malah penduduk Labuan atau mereka yang bekerja dan tinggal di sini yang melakukan perjalanan selama lebih tiga hari akan dikenakan ujian calitan selepas pulang ke sini,” katanya kepada Bernama hari ini.

Tiga orang, dua daripada mereka pelajar, yang pulang dari tanah besar Sabah semalam dan hari ini diuji positif COVID-19.

Labuan dijangka menyaksikan ketibaan 2,860 pelajar kolej dari tanah besar Sabah, Sarawak dan Semenanjung Malaysia bermula semalam dan 7 Ogos ini.

Pengarah Kolej Matrikulasi Labuan Mohd Idris Omar berkata seramai 2,014 daripada 2,860 pelajarnya adalah pelajar sesi pengambilan baharu.

“Setakat jam 3 petang hari ini, seramai 413 pelajar telah mendaftar di kolej dan kesemua mereka didapati negatif COVID-19.

“Kami membuat aturan awal di asrama dan bilik pelajar. Pelajar dari kawasan berisiko tinggi di tanah besar atau pelajar menghidap selesema  ringan akan diasingkan daripada pelajar yang sihat dan dari kawasan bebas COVID dan juga dari kawasan berisiko rendah,”  katanya.

Pengetua Sekolah Menengah Sains Labuan Mahamad Shukri Said berkata pendaftaran pelajar ke asrama sekolah bermula semalam, melibatkan 207 pelajar Tingkatan Satu hingga Tiga dari Labuan dan tanah besar Sabah.

“Pelajar dari Labuan dan luar kawasan akan diasingkan sebagai usaha kami mengelak kontak fizikal antara pelajar bagi mencegah penularan jangkitan di sekolah,” katanya.

Seramai 57 pelajar Tingkatan Lima dan 54 pelajar Tingkatan Empat dari tanah besar Sabah masing-masing telah mendaftar masuk ke asrama sejak 23 Jun dan 14 Julai manakala 21 pelajar dari Sarawak akan tiba 15 Ogos ini.