SARINGAN COVID-19 PERCUMA BAGI PENGHANTAR MAKANAN DI LABUAN MULAI ESOK

LABUAN: Saringan COVID-19 secara percuma untuk penghantar makanan di pulau ini akan bermula esok di Klinik Kesihatan Membidai Labuan.

Program saringan selama tiga hari dari 10 pagi hingga 3 petang itu untuk memastikan penghantar makanan bebas COVID-19.

“Kami tidak mengenakan caj bagi saringan itu kerana adalah penting untuk memastikan mereka sihat untuk menjalankan tugas mereka dan kami dapat mengawal penularan COVID-19,” kata Pengarah Kesihatan Labuan Dr Ismuni Bohari kepada Bernama.

Umat Islam di Malaysia dijangka mula berpuasa lewat minggu ini, dan ramai menjangkakan penghantar makanan akan lebih sibuk untuk menghantar makanan sebelum buka puasa.

Pada 17 April, Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob menyatakan penghantar makanan daripada syarikat perkhidmatan makanan disyaratkan untuk menjalani saringan kesihatan.

Beliau berkata syarat sama juga terpakai bagi penghantar makanan daripada restoran makanan segera atau syarikat yang menawarkan perkhidmatan penghantaran makanan.