Sarawak Energy kesan operator mata wang kripto curi bekalan elektrik

SIBU: Sarawak Energy Berhad (SEB) mengesan lima pengendali perniagaan mata wang kripto mencuri bekalan elektrik bernilai sekurang-kurangnya RM250,000 sebulan dalam operasi yang dijalankan bersama Kementerian Utiliti Sarawak dan polis baru-baru ini.

SEB dalam kenyataannya hari ini berkata dalam operasi dua hari itu, kegiatan berkenaan dikesan dijalankan di premis rumah kedai berbeza di Jalan Tun Ahmad Zaidi Adruce, Jalan Pahlawan dan Jalan Tunku Abdul Rahman.

“Pemeriksaan ke atas lima premis terbabit menemukan kabel penyambung tidak sah yang mengalirkan elektrik daripada bekalan masuk utama yang tersorok di dalam siling gipsum terus kepada peralatan elektrik serta melangkaui meter dan pengukur penggunaan elektrik,” demikian menurut SEB.

Menurut SEB, semakan mendapati bil bulanan di kesemua rumah kedai terlibat hanya berjumlah sekitar RM800 dan RM1,000 sekalipun pusat tersebut beroperasi 24 jam sehari.

“Bacaan beban sebenar yang diambil di lokasi menunjukkan kesemua lima premis menggunakan bekalan elektrik bernilai sekurang-kurangnya RM250,000 sebulan,” demikian menurut kenyataan itu.

Susulan itu lima laporan polis dibuat dan penyambung yang tidak sah berkenaan ditanggalkan serta disita sebagai bukti, kata SEB.

Menurut SEB, sejak 2018 hingga sekarang, kira-kira 50 kes kecurian elektrik melibatkan perniagaan mata wang kripto telah disiasat dan kini menunggu untuk dibawa ke mahkamah.

Mencuri elektrik adalah kesalahan menurut Seksyen 33(5) Ordinan Elektrik Sarawak yang memperuntukkan penalti sehingga RM100,000 dan/atau lima tahun penjara.

Orang ramai diminta menghubungi talian khidmat pelanggan SEB menerusi talian 1300-88-3111 atau e-mel ke [email protected] sekiranya mengesan sebarang aktiviti mencurigakan.