Sarang Dadah Terus Digempur, 58 Orang Berjaya Ditangkap

538

Oleh SURAIDAH ROSLAN
KOTA KINABALU: Seramai 58 orang termasuk 10 warga asing berjaya ditangkap dalam Op Ice Breaker yang dijalankan oleh Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Kinabalu sepanjang 18 hingga 24 Januari.

Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, Asisten Komisioner Habibi Majinji berkata, tangkapan itu dilakukan dalam serbuan memerangi penyalahgunaan dadah di tiga lokasi berasingan iaitu di Sinsuran, Telipok dan Kampung Lok Buno, Manggatal.

Beliau berkata, polis juga berjaya merampas sebanyak 62.08 gram syabu yang dianggarkan bernilai RM9,300 dalam serbuan yang dilakukan.

“Hasil daripada serbuan itu, polis berjaya menangkap tiga pengedar dadah yang ditahan mengikut Seksyen 39B dan Seksyen 39A Akta Dadah Berbahaya 1952.

“Manakala, 16 individu yang memiliki dadah ditahan mengikut Seksyen 12(2) dan 39 individu lain yang disahkan positif dadah ditahan mengikut Seksyen 15(1)(A) Akta Dadah Berbahaya 1952.

“Kesemua 48 orang tempatan dan 10 warga asing yang ditangkap itu berusia antara 13 hingga 62 tahun,” ujarnya.

Habibi berkata, pihaknya akan terus membanteras dan memperhebatkan operasi menangani pengedaran dan penagihan dadah sekitar daerah ini.

Oleh itu, kerjasama orang ramai amat diperlukan bagi menyalurkan maklumat ke talian hotline IPD Kota Kinabalu di talian 088 529220 atau ke Facebook page Polis Daerah Kota Kinabalu.