SAR Mangsa Hilang Diteruskan

PPM melakukan SAR di perairan Tawau, hari ini.

Oleh ARDYHANSAH AMAT
TAWAU: Operasi Mencari dan Menyelamat (SAR) Nurul Maslan Sabran, 34, yang dilaporkan hilang sejak kelmarin, membabitkan kawasan seluas 52 batu nautika persegi, di perairan Tawau, di sini, hari ini.

Pegawai Pemerintah Markas Operasi PPM Wilayah 4 Tawau, Deputi Superintendan Mohd Nazari Ismail ia meliputi perairan Wallace Bay, Pulau Sebatik sehingga ke Inderasabah bermula seawal pukul 6 pagi tadi.

MOHD NAZARI

“Berdasarkan maklumat, mangsa dikatakan keluar dari rumah menaiki bot pada 5 Jun, jam 2.30 petang.

“Bagaimanapun, keluarga mangsa mula menyedari kehilangannya pada 6 Jun (semalam) selepas Nurul Maslan dikatakan tidak pulang dan gagal dihubungi menyebabkan mereka membuat laporan polis,” katanya ketika ditemui media, hari ini.

Tambahnya, sehari sebelum itu, pasukan petugas PPM yang melakukan Ops Benteng Covid-19 pula menemui sebuah bot tanpa juragan di Perairan Cowie pada hari yang sama mangsa dilaporkan bergerak menuju ke Sungai Melayu.

Tambahnya bertindak daripada aduan diterima, PPM segera menghubungi keluarga mangsa untuk membuat pengecaman bot sebelum disahkan ia milik Nurul Maslan.

“Sehubungan itu, satu operasi mencari dan menyelamat (SAR) mangsa dilakukan hari ini meliputi perairan Wallace Bay, Pulau Sebatik sehingga ke Inderasabah.

Lokasi pencarian mangsa meliputi empat sektor dengan kawasan seluas 52 batu nautika.

“Bagaimanapun, sehingga jam 4 petang tadi, mangsa masih belum ditemui,” katanya.

Selain PPM, operasi tersebut turut disertai Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM), Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM), Agensi Pertahanan Awam Malaysia (APM) dan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM).