Samun Di Parkir Pusat Hiburan, Suspek Diburu Polis

KOTA KINABALU: Polis sedang memburu dua suspek yang disyaki terlibat dalam kes samun hingga menyebabkan kecederaan di kawasan parkir sebuah pusat hiburan pagi kelmarin.

Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu Asisten Komisioner Mohd Zaidi Abdullah berkata, akibat kejadian itu seorang lelaki yang merupakan mangsa mengalami kerugian kira-kira RM18,000.

Beliau berkata, dalam kejadian kira-kira jam 3 pagi itu, mangsa mengalami kecederaan kerana dipukul dengan botol kaca hingga menyebabkannya cedera di bahagian muka, mata dan telinga.

Difahamkan sebelum kejadian, mangsa bersama rakannya yang baharu keluar dari pusat hiburan tersebut dalam perjalanan menuju ke kereta sebelum tiba-tiba diserang sekumpulan lelaki tidak dikenali.

“Kumpulan suspek terbabit bertindak menyamun rantai emas yang dipakai mangsa sebelum melarikan diri.

“Siasatan awal mendapati, mangsa yang berumur 45 tahun itu tidak mengetahui jumlah suspek yang terlibat dan bagaimana kesemua suspek meninggalkan kawasan parkir terbabit,” katanya dalam satu kenyataan.

Mohd Zaidi berkata, mangsa dan rakannya terus membuat laporan di Balai Polis Penampang berhubung kejadian tersebut.

Dalam kes berasingan, seorang pelajar cedera di bahagian leher selepas cuba melawan suspek yang menyamunnya dalam kejadian di kawasan Kompleks Api-Api Centre dalam kejadian 7 pagi kelmarin.

Akibat kejadian itu, mangsa kerugian wang tunai sebanyak RM70 selain dokumen peribadi yang turut dilarikan suspek.

Suspek dilihat menaiki kenderaan berwarna hitam dengan nombor pendaftaran SAA8435B.

Siasatan lanjut mendapati nombor pendaftaran kenderaan tersebut adalah palsu. Kedua-dua kes disiasat mengikut Seksyen 395 Kanun Keseksaan.

Sehingga pagi ini, belum ada tangkapan berjaya dibuat dan beliau meminta saksi kejadian supaya tampil membantu siasatan dengan menghubungi pegawai penyiasat kes Inspektor Mohamed Anwar Mohamed Jamil di talian 013-4274631 atau tampil ke mana-mana balai polis berhampiran.