Sampai Bila SK Tombovo dan Kampung Berhampiran Terus Dilanda Banjir Kilat – Warisan

KOTA KINABALU: Projek Tebatan Banjir Fasa 3 Putatan bernilai lebih RM400 juta yang masih belum siap sejak 2017

menyebabkan masalah banjir kilat yang sering melanda Sekolah Kebangsaan (SK) Tombovo serta beberapa kampung berhampiran seakan tiada penyelesaian.

Sehubungan itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Petagas yang juga Ketua Penerangan Parti Warisan (Warisan), Datuk Awang Ahmad Sah mempersoalkan
sampai bilakah sekolah berkenaan harus menjadi mangsa dan menanggung kerugian?

Katanya sehingga kini belum ada tindakan dari mana-mana pihak untuk mengatasi masalah banjir itu secara holistik.

“Ini bukan kali pertama sekolah berkenaan dilanda banjir.

“Sebelum ini, saya diberitahu bahawa kejadian banjir kilat seperti ini bakal berakhir apabila projek Tebatan Banjir Fasa 3 Putatan siap dibina.

“Walau bagaimanapun, projek yang bernilai lebih RM400 juta ini masih belum siap sejak 2017. Sampai bilakah sekolah rendah ini harus menjadi mangsa dan menanggung kerugian?,” katanya dalam satu kenyataan media hari ini.

Beliau yang juga Ketua Parti Warisan Bahagian Putatan berkata kerajaan sekurang-kurangnya harus mencari jalan penyelesaian jangka pendek seperti sentiasa melakukan kerja penyelenggaraan parit di belakang sekolah itu bagi mengelak air melimpah masuk ke kawasan sekolah.

“Parit tersebut sering menjadi punca SK Tombovo begitu mudah dilanda banjir kilat kerana parit tersebut sudah terlalu cetek dan cepat melimpah bila hujan lebat,” katanya.

Menurut Awang Ahmad Sah, selain SK Tombovo, beliau turut dimaklumkan beberapa kawasan di Kampung Tombovo juga turut dinaiki air.

“Hasil tinjauan yang saya lakukan, saya dapati projek skim pembentungan yang sedang dijalankan sejak beberapa bulan yang lepas, kemungkinan menjadi punca banjir kilat berlaku di kampung ini dan beberapa kampung persekitaran.

“Kerja-kerja yang sedang dijalankan telah menghalang aliran air untuk mengalir keluar ke Sungai Lembising dan seterusnya ke laut,” katanya.

Menurut beliau, lebih 5,000 penduduk serta pengguna jalanraya Kampung Tombovo, Lembising, Tansau, Kampung Ketiau, Taman Ketiau termasuk dua Projek Perumahan Rakyat (PPR) iaitu Taman Seri Keramat dan Taman Seri Serigai, terkesan akibat projek berkenaan.

“Sejak kerja pembentungan ini dijalankan, ramai penduduk telah mengadu kepada saya kerana banyak jalan raya turut rosak.

“Saya juga dimaklumkan bahawa pihak Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) Kampung Tombovo telah banyak kali membuat permohonan agar masalah perparitan di sekitar kampung ini termasuk Jalan Pusu dapat diselesaikan,” katanya.

Namun malangnya, tiada jawapan dan tindakan daripada pihak kerajaan seolah-olah mereka mengendahkan sahaja permasalahan penduduk kampung, katanya.

Beliau berharap pihak yang bertanggungjawab dapat mendengar keluhan daripada mangsa musibah alam kerana masalah ini sepatutnya boleh diatasi oleh mereka yang berkuasa.