Sambutan Pesta Kaamatan Tanpa Sempadan Sabah Dilancarkan Hari Ini

KOTA KINABALU: Sambutan Pesta Kaamatan Tanpa Sempadan yang disambut secara dalam talian tahun ini bersesuaian dengan kebiasaan baharu bagi mengekang penularan COVID-19, kata Timbalan Ketua Menteri Sabah Datuk Dr Jeffrey Kitingan.

Beliau berkata bersesuaian dengan tema ‘Kaamatan Aiso Wolit Montok Piompunan om Pibabasan’ atau Kaamatan Tanpa Sempadan Demi Pendamaian dan Keamanan, pelbagai acara telah diatur menerusi pelbagai platform dalam talian antaranya Tiktok dan Kaamatan TV.

Katanya kekangan akibat penularan COVID-19 tidak menjadi penghalang sambutan itu, malah sambutan secara dalam talian menerusi kebiasaan baharu tersebut dapat menonjolkan seni budaya Pesta Kaamatan masyarakat Kadazandusun di negeri ini kepada seluruh dunia.

“Tanggungjawab (mengekal seni dan budaya) ini perlu kita pikul bersama dengan mengorak langkah baharu untuk kita mengakar budaya dan budi kepada generasi muda agar warisan ini dapat dikekalkan pada masa yang akan datang kerana elemen budaya dan budi ini amat dititikberatkan.

“Seni budaya ini memberi cerminan langsung kepada ketinggian adab, perwatakan, sikap dan terkaitan juga dengan maruah dan nilai penghormatan masyakat itu sendiri,” katanya ketika berucap melancarkan sambutan itu melalui laman Facebook Kaamatan TV di sini hari ini.

Jeffrey berkata lebih ramai generasi muda perlu terlibat dalam Pesta Kaamatan tahun ini bagi memberi pendedahan kepada mereka tentang seni budaya masyarakat di negeri ini.

Beliau berkata langkah itu penting bagi memastikan seni budaya tersebut dapat diwarisi generasi berkenaan dan dikekalkan untuk generasi seterusnya, sekali gus dipelihara sebagai identiti penting rakyat di negeri Sabah.

“Pesta Kaamatan kali ini menggalakkan penglibatan lebih ramai golongan muda dan inisiatif Pesta Kaamatan Tanpa Sempadan tahun ini yang menggunakan media sosial serta teknologi terkini dilihat dapat menarik minat lebih ramai golongan muda kita,” katanya.