Sambutan Hari Malaysia Disambut Secara Sederhana Di Sabah

Oleh SURAIDAH ROSLAN
KOTA KINABALU: Sambutan Hari Malaysia peringkat negeri Sabah hari ini disambut secara sederhana dengan kehadiran 500 orang pegawai dan anggota perkhidmatan awam.

Sambutan Hari Malaysia dihadiri oleh Yang diPertua Negeri Sabah, Tun Juhar Mahiruddin dan isteri Toh Puan Norlidah R.M Jasni serta Ketua Menteri Sementara Datuk Seri Panglima Mohd Shafie Apdal dan isteri, Datin Seri Shuryani Shuaib.

Turut hadir barisan ahli jemaah Kabinet Kerajaan Sementara serta Timbalan-timbalan Ketua Menteri Sementara Datuk Jaujan Sambakong, Datuk Seri Panglima Wilfred Madius Tangau dan Datuk Christina Liew.

Majlis dimulakan dengan upacara menaikkan Jalur Gemilang dan bendera Sabah oleh Tentera Laut Diraja Malaysia sambil diiringi dengan nyanyian lagu Negaraku dan Sabah Tanah Airku.

Acara diteruskan dengan upacara memotong kek, persembahan koir oleh Perbadanan Pinjaman Sabah, persembahan khas ‘Ceritera Bayu Merdeka’ oleh artis kebudayaan dari Lembaga Kebudayaan Negeri Sabah (LKNS).