Sambutan Bulan Kebangsaan: Sarawak Manfaat Kemudahan Dalam Talian

KUCHING: Perasmian majlis Pelancaran Bulan Kebangsaan dan Kibar Jalur Gemilang peringkat negeri Sarawak pada 10 pagi, 16 Ogos ini akan memanfaatkan kemudahan penstriman langsung bagi membolehkan upacara itu disaksikan ribuan rakyat Sarawak.

Pengerusi Jawatankuasa Induk majlis itu Suwadi Guliling berkata ini berikutan pelaksanaan prosedur operasi standard (SOP) ketat dan mengehadkan jumlah kehadiran sepanjang majlis yang akan diadakan di Bangunan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak di sini.

“Kita telah meminta nasihat dari KKM (Kementerian Kesihatan Malaysia), MKN (Majlis Keselamatan Negara) dan SDMC (Jawatankuasa Pengurusan Bencana Sarawak). Mereka telah memberi peringatan untuk mematuhi SOP ketat (yang mana) mereka yang hadir nanti mesti mengemukakan nama dan kad pengenalan mereka,” katanya ketika dihubungi Bernama hari ini.

Menurutnya, Ketua Menteri Sarawak Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg akan merasmikan acara itu yang akan disiarkan secara penstriman langsung di aplikasi Facebook Unit Komunikasi Awam Sarawak (UKAS), Facebook Jabatan Penerangan (JAPEN) Sarawak dan di akaun TikTok jabatan itu.

“Jumlah pengisian acara juga dihadkan dengan amanat dari Ketua Menteri, tayangan video patriotik dan disusuli acara pelepasan Konvoi Jalur Gemilang,” katanya.

Konvoi Jalur Gemilang ini juga hanya melibatkan 10 jabatan dan agensi kerajaan terdiri daripada polis, JAPEN, Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri, Pejabat Setiausaha Persekutuan Sarawak, RTM, Pos Malaysia, Telekom Malaysia, Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia, Bernama dan Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS).

Sementara itu, Suwadi yang juga Pengarah JAPEN Sarawak berkata jabatannya menganjurkan pertandingan Selfie Wefie melalui Facebook rasmi mereka dan TikTok Merdeka di akaun TikTok Khabar Dari Sarawak JAPEN sempena Bulan Kebangsaan peringkat negeri itu.

Katanya, kedua-dua pertandingan yang menawarkan hadiah wang tunai itu akan dilancarkan 18 Ogos ini dengan tujuan untuk menyemarakkan semangat patrotisme sepanjang sambutan bulan kebangsaan dalam keadaan negara menghadapi pandemik COVID-19.

“Sekarang isunya orang ramai berada dalam suasana pandemik COVID-19. Ramai yang muram, kurang pergerakan tapi kita akan buat aktiviti supaya mereka tidak lupa bahawa semangat perayaan Bulan Kebangsaan itu tetap berlaku dan membara,” katanya.