Sambut Bayi Dalam Kereta

Bayi lelaki yang selamat dilahirkan Noziee di dalam kenderaan ayahnya ketika dalam perjalanan ke Hospital Tawau.

Oleh ARDYHANSAH AMAT
TAWAU: Tidak pernah terlintas difikiran seorang pesara kerajaan, Abdul Asa Mohd Salleh, 65, untuk melihat anak perempuannya bersalin dalam kenderaan miliknya selepas ‘tersangkut’ dalam kesesakan lalu lintas akibat sekatan jalan raya (SJR), di sini, kelmarin.

Abdul Asa ketika dihubungi berkata, anaknya Noziee Abdul Asa, 37, selamat melahirkan bayi ‘Perintah Kawalan Pergerakan’ ketika kenderaan yang dipandunya hampir memasuki pekarangan Hospital Tawau di Jalan Tanjung Batu.

“Sekitar pukul 9.30 pagi, saya menerima panggilan daripada anak (Noziee) mengatakan dia mengalami sakit perut.

“Memang ketika itu, anak saya sedang menunggu hari untuk bersalin anak keempatnya,” katanya.

Menurut Abdul Asa, dia kemudian bergegas membawa anaknya, ditemani anak sulung Noziee, Aisha  Maizela, 17, bergerak dari Projek Perumahan Rakyat Termiskin (PPRT) Batu 8, yang terletak kira-kira 14 kilometer dari Hospital Tawau.

“Apa yang bermain di fikiran adalah kesesakan lalu lintas di sekitar SJR Jalan Apas yang mengambil masa hampir dua jam untuk melaluinya.

“Saya cuba menggunakan laluan di Jalan Tiku sebelum tersekat di SJR Jalan Kuhara,” katanya.

Mujur ketika itu, sebuah ambulans sedang melalui kawasan yang sama sebelum Abdul Asa meminta Aisha memaklumkan keadaan Noziee kepada kakitangan perubatan.

“Kami dibenarkan mengikuti pergerakan ambulans dari belakang untuk mempercepatkan perjalanan ke hospital.

“Bagaimanapun, sebaik tiba di Unit Kecemasan Hospital Tawau, saya diarahkan oleh kakitangan bertugas untuk menghantar Noziee ke wad bersalin, selepas memeriksa keadaannya,” katanya.

Walaupun agak tidak berpuas hati dengan arahan tersebut selepas mengambil kira terpaksa melalui satu lagi SJR di Jalan Tanjung Batu, Abdul Asa akur dengan arahan kakitangan perubatan itu.

“Dalam keadaan sekarang, saya hanya fikirkan kesalamatan anak, selain mengambil kira perancangan pihak hospital yang perlu bersedia untuk kes kecemasan lain.

“Walaupun agak menghairankan kerana pesakit tidak dihantar menggunakan katil beroda memandangkan wad bersalin juga terletak di kawasan yang sama dengan Unit Kecemasan, tanpa perlu melalui jalan raya,” katanya.

Tambah Abdul Asa, seperti dijangka, mereka  sekali lagi ‘sangkut’ dalam kesesakan lalu lintas akibat SJR Tanjung Batu sebelum pihak berkuasa bertugas membenarkan mereka melalui kawasan tersebut dengan kadar segera.

“Sebaik tiba di pondok bas berhampiran pagar masuk hospital, saya mendapati Aisha tiba-tiba memegang seorang bayi.

“Ketika itu, saya memang terkejut namun meneruskan perjalanan seperti biasa menuju di wad bersalin dan segera memaklumkan petugas kesihatan di sana,” katanya.

Menurutnya, dia hanya mampu melihat dari jauh petugas perubatan merawat anak dan cucunya di dalam kenderaan tersebut sebelum mereka dipindahkan ke wad untuk rawatan lanjut.

Sementara itu, Noziee menerusi hantaran yang dimuat naik di akaun Facebook miliknya berkongsi kegembiraannya melahirkan bayi lelaki seberat 3.4 kilogram dalam kenderaan ayahnya.

Menerusi hantaran tersebut, Noziee menjelaskan bayinya dimasukkan ke wad lain kerana mengalami sedikit masalah pernafasan, namun mereka berdua dalam keadaan stabil.