Salurkan Peruntukan Awal : Berita BTtv – 12 October 2019

50
Bersama Reetasha Joanes Mijol
  • Timbalan Ketua Menteri, Datuk Jaujan Sambakong berharap peruntukan RM5.2 billion untuk Sabah dalam Belanjawan 2020 yang dibentangkan semalam, dapat disalurkan segera awal tahun hadapan tanpa kelewatan, bagi mempercepatkan proses pembangunan yang telah dirancang khususnya di kawasan luar bandar yang masih terpinggir dari kemudahan asas.
  • Menteri Pembangunan Luar Bandar Datuk Ewon Benedick menyifatkan Belanjawan 2020 sebagai manifestasi keprihatinan dan komitmen kerajaan pusat terhadap kepentingan rakyat Sabah terutamanya kenaikan peruntukan khas tahunan daripada RM26.7 juta kepada RM53.4 juta untuk kerajaan negeri.
  • Timbalan Ketua Menteri Datuk Seri Panglima Wilfred Madius Tangau menyifatkan Belanjawan 2020 sebagai belanjawan yang baik dan menepati sasaran dalam usaha membangunkan ekonomi Sabah, peruntukan yang diberi dalam belanjawan itu jauh lebih baik berbanding peruntukan yang diberikan pada tahun lalu. Pendapat sama turut dikongsi ahli dewan undangan negeri dan Ahli Parlimen di Sabah.
  •  Kementerian Kerajaan Tempatan dan Perumahan bercadang mengguna pakai konsep mengikut zon bagi hartanah yang boleh dibeli oleh pelabur asing dengan harga RM 600,000 seunit. Konsep itu membolehkan pemaju perumahan untuk menjual hartanah mereka kepada pelabur asing dengan harga berkenaan berbanding harga jualan RM1 juta ketika ini.
  • Sejarah Orang Asal penduduk di Borneo, khususnya di Sabah, bermula 70,000 tahun dahulu, menurut seorang pakar sejarah dan genetik dari United Kingdom, Profesor Dr Stephen Oppenheimer.Profesor sekolah antropologi universiti Oxford itu menyatakan Sabah ketika itu merupakan sebahagian daripada tanah besar Asia Tenggara yang menghubungkan Jawa dan Sumatera untuk membentuk benua Sunda yang besar.Mengikut teorinya, penghijrahan penduduk berlaku apabila paras laut ketika Zaman Ais, meningkat sehingga 100 meter, dalam tiga fasa antara 14,000 dan 8,000 tahun yang lalu.
  • Sekumpulan penyeludup rokok bertindak nekad membuang 825 karton rokok bernilai RM82,500 ke laut dalam cubaan melarikan diri dari pihak berkuasa di Tawau.
  • Polis menahan 46 individu di Kota Kinabalu atas pelbagai kesalahan berkaitan dadah dalam Op Sarang selama seminggu yang berakhir kelmarin.