Salur Maklumat Sahih, Tepat Kepada Masyarakat – Samsuni

64
Pengarah Jabatan Penerangan Sabah Norzawiyah Bulka, kiri, menyerahkan cenderamata kepada Datuk Samsuni Mohd Nor.

KOTA KINABALU: Setiap media cetak dan elektronik perlu meletakkan integriti sebagai keutamaan bagi memastikan maklumat dalam bentuk berita yang disiarkan adalah tepat dan sahih.

Setiausaha Persekutuan Sabah Datuk Samsuni Mohd Nor berkata dalam memastikan media cetak dan elektronik terus relevan dengan perkembangan terkini, maklumat yang tepat dan sahih harus diberi keutamaan untuk disalurkan kepada masyarakat.

“Di peringkat Pejabat Persekutuan Sabah, kerjasama media sangat diperlukan dalam membantu menyalurkan maklumat terkini kepada masyarakat khususnya berkaitan dasar-dasar kerajaan dan program pembangunan yang dilaksanakan di negeri ini,” katanya.

Beliau berkata demikian pada Majlis Malam Media anjuran Jabatan Penerangan Sabah di sini, malam tadi (Khamis) yang turut dihadiri Pengarah Jabatan Penerangan Sabah Norzawiyah Bulka.

Terdahulu, Norzawiyah dalam ucapannya berkata industri media di Malaysia berdepan pelbagai cabaran dengan arus perkembangan teknologi digital hari ini, menyebabkan trend masyarakat berubah daripada media konvensional kepada media digital.

“Keadaan ini juga mengakibatkan sebilangan rakan-rakan kita baik di Sabah dan Semenanjung, ramai yang terpaksa berpindah ke agensi media yang lain. Lebih malang lagi, ramai juga yang telah kehilangan pekerjaan dan kita amat bersimpati,” katanya.

Menurutnya, kemunculan media baharu juga semakin hari semakin mencabar kemampuan media arus perdana terutama kepada media cetak.