Salleh: Terserah Kepada Pertimbangan Kepimpinan PKR

Salleh Said Keruak, kanan, bersama Anwar Ibrahim, tengah, dan Pandikar Amin Mulia ketika majlis USBO di Kota Belud September lepas.

KOTA KINABALU: Bekas Menteri Komunikasi dan Multimedia Datuk Seri Salleh Said Keruak menyerahkan kepada kepimpinan PKR untuk mempertimbangkan permohonan beliau menyertai parti itu.

Salleh, yang juga bekas Ketua Menteri Sabah berkata, keputusan untuk menyertai PKR dibuat kerana parti itu mengamalkan politik berbilang kaum dan bersesuaian dengan pegangan politik serta suasana politik di Sabah.

“Seperti yang pernah saya jelaskan, saya dan sebilangan besar kepimpinan UMNO Sabah mengambil keputusan meninggalkan UMNO pada Disember 2018 demi memberi tumpuan kepada masa hadapan negeri Sabah,” katanya menerusi blognya Sallehsaid.com, hari ini.

Jelasnya, beliau ingin membantu PKR dalam membawakan politik progresif berbilang kaum yang mengutamakan kestabilan dan kesederhanaan, terutamanya di negeri Sabah.

Salleh berkata dalam kancah politik berteraskan kaum dan ekstremis yang boleh menggugat perpaduan serta kestabilan negara ketika ini, beliau percaya PKR berada di landasan yang betul untuk menyelamatkan negara daripada bencana ekstremisme.

Katanya, sejak menyertai dunia politik hinggalah ke hari ini, beliau kekal sebagai seorang yang sederhana, progresif dan amat mendukung kestabilan.

“Saya percaya langkah yang saya ambil ini adalah langkah yang betul buat diri saya, dan saya percaya saya boleh menyumbang ke arah kestabilan dan kemakmuran Sabah khususnya, dan Malaysia amnya, menerusi penglibatan saya dalam PKR,” katanya.

Semalam, Pengarah Komunikasi PKR Fahmi Fadzil yang mengesahkan parti itu menerima permohonan Salleh secara dalam talian untuk menganggotai PKR, berkata permohonan Salleh akan dibincangkan oleh biro politik parti dalam mesyuarat akan datang.

BERITA BERKAITAN: –

Salleh Keruak Mohon Sertai PKR

PKR Tidak Perlu Pejuang Kesiangan Seperti Salleh