Salleh Said Keruak Politikus Sejati Yang Mencari Penyambung Nyawa

Oleh AZIS KHAN
KOTA KINABALU: Selepas sekian lama menyepi berikutan kekalahan Barisan Nasional (BN) dalam Pilihan Raya Umum 2018 termasuk di kerusi Parlimen Kota Belud, nama Datuk Salleh Said Keruak kini muncul lagi.

Tindakan beliau mengisi borang keahlian Parti Keadilan Rakyat (PKR) menimbulkan reaksi marah pemimpin-pemimpin PKR Sabah yang mendesak pimpinan Pusat parti itu agar tidak menerima Salleh.

Salleh memberikan alasan kononnya tindakan tersebut adalah demi masa depan Sabah, namun bagi seorang penganalisis politik, langkah tersebut menunjukkan bahawa Salleh adalah politikus sejati yang sentiasa mencari peluang demi survival politik peribadi.

Bercakap kepada Borneo Today, penganalisis tersebut berkata, seorang politikus sejati boleh berubah sekelip mata, yang lawan jadi kawan atau kawan tiba-tiba sahaja menjadi musuh.

“Melihat sejarah politik Salleh, beliau suatu ketika dulu adalah sahabat baik Datuk Seri Anwar Ibrahim semasa menjadi Timbalan Perdana Menteri, tetapi apabila Anwar dipecat oleh Tun Dr. Mahathir yang ketika itu Perdana Menteri, begitu mudah Salleh beralih arah.

“Pada masa itu beliau buang Anwar dan menyokong kuat Dr. Mahathir kerana nyawa politiknya berada di situ, tetapi apabila Datuk Seri Najib Tun Razak pula menjadi Perdana Menteri, sekali lagi Salleh menunjukkan semangat politikus sejati beliau.

“Sejak dilantik menjadi Menteri Komunikasi dan Multimedia oleh Najib, tugas utama Salleh adalah memanipulasi semua medium media kerajaan untuk hentam Dr. Mahathir siang dan malam untuk menjatuhkan negarawan tersebut,” katanya.

Menurut penganalisis itu, Salleh tersilap langkah apabila BN ditewaskan dalam pilihan raya umum menyebabkan beliau kini mencari nafas politik terbaharu untuk menyambung ‘nyawa’.

“Semua pihak tahu Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) telah ‘reject’ Salleh, justeru bekas Bendahari UMNO itu kini kembali kepada Anwar dengan harapan bakal Perdana Menteri itu akhirnya menjadi Perdana Menteri.

“Sebagai politikus sejati, Salleh tidak akan sokong pemimpin yang tidak membawa apa-apa keuntungan kepadanya, dalam situasi sekarang hanya Anwar jalannya,” katanya.

Sementara itu difahamkan, PKR Sabah yang kini dipercayai berpecah kepada dua kumpulan iaitu penyokong Christina Liew di bawah Anwar dan penyokong Timbalang Presiden, Azmin Ali juga telah menolak penyertaan Salleh ke dalam PKR.

Mereka mempersoalkan apa sebenarnya yang cuba dilakukan Anwar jika menerima kemasukkan dan memberi peringatan ramai penyokong parti itu bakal beralih arah kepada parti lain selepas ini.

Ketua Cabang PKR Semporna, Mohd. Amin Abdul Mem berkata, PKR tidak boleh menerima seorang pejuang kesiangan seperti Salleh.

Dalam pada itu, Senator DAP, Adrian B Lasimbang menyifatkan Salleh sebagai parasit yang harus dielakkan.

“Pemimpin-pemimpin PKR, tolong jangan bawa parasit ini ke dalam Pakatan Harapan (PH),” katanya di dalam Facebook beliau.