Salleh Keruak Mohon Sertai PKR

KOTA KINABALU: Bekas Bendahari UMNO, Datuk Seri Salleh Said Keruak telah mengisi borang permohonan menyertai Parti Keadilan Rakyat (PKR).

Pengarah Komunikasi PKR, Fahmi Fadzil berkata, permohonan tersebut dibuat melalui dalam talian.

“Berdasarkan rekod, saya difahamkan parti memang ada terima permohonan keanggotaan dari beliau secara dalam talian.

“Walau bagaimanapun, Biro Politik PKR akan membincangkan dan memberi pertimbangan kepada perkara ini dalam mesyuarat yang akan datang,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Baru-baru ini, Salleh hadir ke program PKR di Kota Belud yang dirasmikan Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Desas-desus telah timbul sebelum itu bahawa Salleh bersama seorang lagi bekas pemimpin UMNO, Tan Sri Pandikar Amin Mulia akan menyertai PKR.

Sementara itu, Ketua PKR Semporna, Mohd. Amin Abdul Mem seperti dilaporkan hari ini berkata Salleh membuat permohonan itu tanpa memaklumkan pemimpin PKR Sabah.

Katanya, PKR Sabah agak terkejut dengan tindakan beliau kerana tidak diberitahu sebelum ini.