Salleh Keruak Batal Hasrat Sertai PKR Kerana Telah Hilang Kuasa

Oleh AZIS KHAN
KOTA KINABALU: Selepas meninggalkan UMNO kerana parti itu hilang kuasa dalam Pilihan Raya Umum 2018, bekas Bendahari UMNO, Datuk Seri Salleh Said Keruak telah membuat permohonan menyertai Parti Keadilan Rakyat (PKR).

Bagaimanapun, sebelum sempat bergelar ahli, Salleh telah terlebih dahulu membatalkan permohonan selepas PKR turut hilang kuasa dalam Kerajaan Persekutuan apabila Perikatan Nasional (PN) mengambil alih pemerintahan.

Seperti pemimpin-pemimpin yang sebelum ini turut tidak mempunyai pendirian tegas dalam perjuangan politik, Salleh juga menggunakan alasan kononnya mahu menjaga hubungan baik antara Sabah dan Persekutuan yang mendorongnya untuk menarik balik keputusan menyertai PKR.

“Seperti sedia maklum, saya bersama sebilangan besar kepimpinan UMNO Sabah telah meninggalkan UMNO pada 12 Disember 2018.

“Pada waktu itu saya berpandangan negeri Sabah harus membina hubungan yang kukuh dengan Kerajaan Persekutuan untuk kekal membangun dan berdaya saing.

“Hampir setahun kemudian iaitu pada Oktober 2019 saya telah memohon untuk menyertai PKR.

“PKR adalah sebahagian daripada Kerajaan Persekutuan ketika itu, dan saya memilihnya demi kesinambungan kerjasama antara Sabah dan Kerajaan Persekutuan,” katanya dalam entri terbaharu di blog peribadinya hari ini.

Salleh berkata, landskap politik hari ini dan pergolakan dalaman PKR menyebabkan beliau  mengambil keputusan berkenaan.

“Pada bulan Mac 2020 saya telah meminta agar permohonan saya ditangguhkan dahulu agar saya dapat bertemu dengan rakan-rakan seperjuangan dan membincangkan hala tuju kami di Sabah.

“Kemudian pada April 2020 saya telah meminta agar permohonan saya menyertai PKR dibatalkan,” katanya.

Sehubungan itu, Salleh berkata, beliau kini memikirkan semula tindakannya sebelum ini iaitu meninggalkan UMNO pada Disember 2018.

Beliau turut memohon orang ramai supaya mempercayai bahawa tindakannya telah mengambil kira pandangan rakan-rakan seperjuangan serta akar umbi.

“Sepanjang tempoh itu saya mengambil masa untuk merenung kembali keputusan-keputusan yang telah saya buat terdahulu termasuklah untuk ikut keluar UMNO secara ‘en-bloc’ .

“Hari ini, walau apa pun keputusan yang saya ambil berhubung parti, percayalah bahawa saya telah mempertimbangkannya dengan teliti dan mengambil kira pandangan rakan-rakan seperjuangan serta akar umbi,” katanya.