Salahkah Shafie Berdialog Dengan Penganut Kristian Untuk Kebaikan?

Sebahagian dari ketua-ketua dan penganut Kristian dari Pedalaman yang berdialog dengan Shafie Apdal, presiden Parti Warisan Sabah di Keningau baru-baru ini.

Oleh PASTOR GEORGE TIMUS
KOMEN: Perjumpaan ramah-mesra pemimpin Parti Warisan Sabah bersama ketua-ketua Gereja di Keningau baru-baru ini (19.11.2017) merupakan perjumpaan yang berbentuk dialog dan ini menunjukkan sikap keterbukaan yang ditunjukkan oleh Presiden Parti Warisan Mohd Shafie Bin Hj Apdal semasa perjumpaan di Keningau.

Perjumpaan dan dialog dihadiri oleh 200 ketua-ketua Gereja penganut-penganut Kristian sekitar daerah kawasan Keningau, Tenom dan Pensiangan, dan telah mendapat pujian serta telah membuktikan bahawa Shafie adalah seorang pemimpin untuk semua kaum dan agama.

Apa yang dapat disimpulkan daripada sesi dialog tersebut bahawa sekurang-kurangnya ada pemimpin yang sanggup mendengar pendapat kita. Kita menghormati dan faham bahawa agama Islam merupakan agama rasmi di Malaysi., Namun adakah salah bagi seorang pemimpin berpengalaman seperti Shafie untuk menerima, mendengar dan memberi pendapat berhubung isu semasa yang kami utarakan dalam sesi tersebut.

PASTOR GEORGE TIMUS

Sebagai salah satu pemimpin gereja yang mengikuti sesi dialog tersebut amat berterima kasih kepada Shafie atas keperihatinan beliau dalam membantu dan menyelesaikan permasalahan yang dihadapi oleh gereja dan penganut kristian di negeri ini sekiranya Parti Warisan memerintah negeri Sabah kelak.

Di dalam sesi dialog tersebut, saya berpendapat bahawa Shafie tidak melakukan sebarang kesalahan yang berunsurkan hasutan ataupun yang boleh menggugat keharmonian seluruh kaum di Malaysia ini kerana apa yang disarankan oleh beliau adalah lebih bersifat keterbukaan kepada seluruh kaum dan agama. Saya juga percaya bahawa ada pihak yang cuba memesongkan fakta ini untuk kepentingan masing-masing.

Saya juga menolak dan menyangkal khabar angin yang mengatakan bahawa kesan daripada perjumpaan tersebut telah menyebabkan perpecahan dikalangan penganut Kristian.

Anutan agama adalah bersifat peribadi dan jangan libatkan agama dengan politik. Apa yang saya dapat amati di dalam ucapannya pada sesi dialog tersebut, Shafie tidak pernah melibatkan agama dengan politik, beliau hanya mahu mendengar idea serta maklum-balas daripada penganut-penganut agama lain yang mana kebetulan pada hari itu adalah perjumpaan dengan pemimpin Gereja.

Sesi perjumpaan dan dialog antara pemimpin Parti Warisan dan ketua-ketua serta penganut Kristian di Pedelaman.

Selain itu, Shafie juga telah banyak kali menegaskan bahawa dalam masa Islam menjadi agama rasmi di Malaysia, agama-agama lain juga mesti dihormati. Janganlah hanya disebabkan beliau seorang ahli politik yang beragama Islam, beliau dilarang untuk mendengar permasalahan serta cadangan-cadangan daripada kami dari golongan Kristian.

Niat sebenar adalah untuk menyatukan rakyat Sabah tanpa mengira kaum dan agama, tegasnya.

Selain itu, antara permintaan dan cadangan yang kami utarakan kepada Shafie pada sesi dialog tersebut ialah memohon agar sekiranya kerajaan Parti Warisan memerintah kelak boleh mempertimbangkan supaya Parti Warisan boleh menyumbangkan bantuan kewangan kepada seluruh gereja di seluruh Sabah.

Kami juga memohon supaya khutbah mingguan dapat dipertimbangkan untuk disiarkan secara langsung melalui siaran Televisyen Sabah kelak. Kami cadangkan agar penggunaan kalimah Allah dikekalkan khasnya di Negeri Sabah.

Saya juga bersyukur kerana Sabah mempunyai seorang pemimpin yang bersifat terbuka walaupun daripada agama yang berlainan.

Namun pada masa yang sama saya turut kesal kerana ada kritikan serta hinaan yang dilemparkan ke atas Shafie. Adakah kritikan yang sama akan diterima beliau sekiranya penganut-penganut agama lain seperti Buddha, Hindu dan lain-lain ingin menganjurkan program dialog bersama Shafie?

Salahkah Shafie untuk melakukan sedemikian demi kebaikan rakyat Sabah?

• Pastor George Timus daripada Gereja SIB Hermon Keningau merangkap Timbalan Ketua SIB Kawasan Keningau

RELATED STORY: –

Warisan Will Defend Sanctity of Christian Faith If It Comes To Power