Salahguna Pas Lawatan Sosial, Tiga Warga Vietnam Didenda RM 800

265

KOTA KINABALU: Menyalahgunakan pas lawatan sosial untuk terlibat dalam kegiatan pelacuran, tiga wanita warga Vietnam dikenakan denda RM 800 setiap seorang, di Mahkamah Sesyen, di sini pada Rabu.

Jika gagal membayar denda, kesemua mereka akan dipenjara selama dua bulan.

Hakim Azreena Aziz menjatuhkan hukuman berkenaan itu ke atas Tran Thanh Thuy,29, Dang Cam Hong,27, dan Le Thi Thanh Tuyen,21, setelah kesemua tertuduh mengaku bersalah atas pertuduhan berkenaan.

Ketiga-tiga mereka didakwa menyalahgunakan pas lawatan sosial dengan niat untuk bekerja di sebuah pusat refleksologi di Kampung Air pada 16 Febuari, jam 10.20 malam.

Atas kesalahan itu, kesemua tertuduh didakwa mengikut Peraturan 39 (b) Peraturan-Peraturan Imigresen 1963 yang memperuntukkan denda maksimum RM1,000 atau penjara selama enam bulan, atau kedua-duanya.

Ketiga-tiga tertuduh turut diperintahkan dirujuk ke Jabatan Imigresen dan bio data metrik direkodkan sebelum dihantar pulang ke negara asal.

Hakim memerintahkan pasport ketiga-tiga tertuduh juga dikembalikan.