SAFA Raikan Skuad Bolasepak Sabah Yang Juarai Liga Perdana

Oleh AZIZ KHAN
KOTA KINABALU: Persatuan Bolasepak Sabah (SAFA) dan Kementerian Belia dan Sukan Sabah (KBSS) diingatkan supaya sentiasa turun padang termasuk ke sekolah-sekolah bagi mencari bakat baharu yang boleh digilap untuk mengharumkan nama Sabah di peringkat kebangsaan dan antarabangsa.

Ketua Menteri Datuk Seri Panglima Haji Mohd Shafie Apdal berkata, beliau berharap pengurusan SAFA dapat masuk ke sekolah-sekolah untuk menggalakkan anak-anak muda terlibat dalam sukan bolasepak.

“Bolasepak merupakan sukan yang boleh membina perpaduan dalam kalangan masyarakat dan pemain bola itu sendiri.

“Saya juga mahu Sabah sebagai juara liga perdana untuk bersaing dalam liga Super. Saya yakin pasukan kita punya keupayaan. Kita perlu ada kekuatan, keyakinan dan usaha latihan.

“Saya juga berharap SAFA dan KBSS menjadi landasan untuk melahirkan anak muda yang cemerlang dan mempunyai ketahanan untuk menjadi pemain bola yang menyinar di peringkat antarabangsa,”

“Kita boleh menjadikannya satu kenyataan, seperti sukan ragbi, dimana, ramai pemain Malaysia adalah dari Sabah,” katanya ketika berucap semasa Majlis Makan Malam Amal Persatuan Bola Sepak Sabah (SAFA) di sini, pada malam Rabu.

Mohd Shafie juga yakin pasukan Sabah mampu bersaing dan menyinar dalam kancah liga bolasepak Malaysia dibawah kepimpinan Datuk Peter Anthony, selaku Presiden SAFA.

“Saya yakin bolasepak Sabah boleh melahirkan pemain legenda seperti James Wong dan Hassan Sani. Bolasepak adalah satu amalan untuk menyatu padukan rakyat berbilang kaum juga,” katanya.

Sementara itu, Peter, juga Menteri Pembangunan Infrastruktur melahirkan penghargaan kepada Ketua Menteri atas dorongan dan sokongan diberikan sehingga Sabah berjaya menjulang trofi kejuaraan selepas 23 tahun.

“Dahulu kedudukan persatuan terumbang-ambing dan tidak menentu. Menerusi dorongan dan sokongan Ketua Menteri, SAFA lebih teratur.

“Dulu saya menerima kritikan dan cacian, namun ini tidak melemahkan saya kerana apa yang penting ialah tanggungjawab, selaku presiden SAFA yang baru dipilih untuk menerajui SAFA, saya ingin mengucapkan terima kasih kepada penyokong. Semoga tahun hadapan, Sabah akan beroleh lebih banyak kejayaan,” katanya.

Kejayaan skuad senior bolasepak Sabah atau dikenali sebagai pasukan Tambadau yang menjuarai Liga Premier 2019 itu diraikan dalam majlis amal berkenaan.

Majlis yang disempurnakan oleh Yang Dipertua Negeri Sabah Tun Juhar Mahiruddin itu turut dihadiri Menteri Belia dan Sukan, Phoong Jin Zhe, Menteri Kesihatan dan Kesejahteraan Rakyat, Datuk Frankie Poon dan Menteri Pembangunan Luar Bandar, Datuk Ewon Benedick.

Dalam majlis itu, kesemua pemain, jurulatih dan pengurus pasukan Sabah, menerima insentif atas kejayaan mereka itu.

SAFA juga menyampaikan cendera kenangan kepada beberapa bekas pemain dan jurulatih Sabah yang telah memberi sumbangan memartabatkan sukan bola sepak di negeri ini.

Antaranya pemain pada era 80an, Datuk James Wong, Datuk Hassan Sani dan Paulus Jimit.

Majlis itu juga bertujuan mengutip dana bagi mengisi tabung persatuan menerusi penjualan meja.

SAFA juga menerima sumbangan daripada 26 pihak yang disampaikan Tun Juhar kepada presiden SAFA.

Tahun ini, Sabah bukan sahaja menamatkan kemarau tanpa trofi kejuaraan selama 23 tahun, namun turut mengakhiri penantian selama 7 tahun untuk melayakkan diri semula ke saingan liga Super.

(Visited 2 times, 2 visits today)