Sabah Warta 14 Kampung Tradisi

226
ARIFIN ASGALI

KOTA KINABALU: Empat belas kampung tradisi terletak dalam kawasan hutan simpan dan syarikat berkaitan kerajaan (GLC) diwartakan sejak Jun tahun lepas hingga Oktober lalu melibatkan keluasan 675.62 hektar.

Pembantu Menteri kepada Ketua Menteri Arifin Asgali berkata ia membabitkan empat kampung di Keningau, Kudat (tiga), Kota Kinabalu dan Ranau (masing-masing dua) dan masing-masing satu di Papar, Sandakan dan Tambunan.

Katanya dalam tempoh sama, 42 kampung pada masa ini dalam proses akhir untuk diwartakan dengan jumlah keluasan 380.87 hektar.

Menurutnya kerajaan negeri melalui Jabatan Tanah dan Ukur Sabah mewartakan tanah-tanah perkampungan tradisi yang telah diukur tetapi belum diwartakan, memproses, menyiasat di lapangan dan mengukur semua permohonan perkampungan yang diterima daripada ketua kampung.

Kerajaan negeri juga mengarahkan semua GLC dan jabatan kerajaan termasuk Jabatan Perhutanan Sabah untuk mengenal pasti kampung tradisi yang wujud di tanah milik mereka dikeluarkan dan seterusnya diwartakan sebagai tanah perkampungan, katanya pada persidangan Dewan Undangan Negeri Sabah di sini, hari ini.

Beliau menjawab soalan Datuk Jahid Jahim (Tamparuli-PBS) yang bertanyakan langkah diambil oleh kerajaan untuk mewartakan tanah perkampungan tradisi.

Arifin berkata sehingga 31 Okt lepas, 47 kampung telah dikenal pasti akan dikeluarkan dari tanah milik GLC.

Katanya ia membabitkan 17 kampung melibatkan keluasan 1,022.99 hektar di daerah Kota Marudu, Papar, Semporna, Beaufort dan Pitas, akan dikeluarkan dari tanah milik Kumpulan Sawit Kinabalu.

Katanya 23 kampung melibatkan keluasan 8,341 hektar akan dikeluarkan dari tanah Lembaga Kemajuan Perhutanan Negeri Sabah (Safoda) di daerah Pitas, Kota Marudu dan Kota Belud.

Menurutnya tujuh lagi kampung di Keningau, Papar, Tawau, Sandakan dan Lahad Datu dengan keluasan 1,971.37 hektar akan dikeluarkan dari tanah Lembaga Kemajuan Tanah Negeri Sabah (LKTNS).