Sabah Wajibkan Pelitup Muka Ditempat Awam 1 Ogos Ini – Ketua Menteri

Oleh SURAIDAH ROSLAN
KOTA KINABALU: Kerajaan Sabah mengambil langkah sama seperti kerajaan persekutuan dalam mewajibkan penggunaan pelitup muka di tempat awam bermula 1 Ogos ini.

Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Mohd Shafie Apdal berkata, langkah itu selaras dengan arahan diperingkat persekutuan yang mewajibkan semua memakai pelitup muka apabila berada di tempat awam.

“Saya sudah tandatangan kerana kita mesti selaraskan. Oleh itu, kita harap semua orang akan mengikut peraturan ini dan jangan ambil ringan arahan sebegini.

“Saya minta kerjasama ibu bapa, keluarga dan anak-anak supaya jangan ambil ringan arahan pemakaian pelitup muka ini,” katanya ketika mengulas tentang arahan mewajibkan penggunaan pelitup muka berkuatkuasa 1 Ogos ini.

Pada 23 Julai lalu, Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob menyatakan pemakaian pelitup muka diwajibkan di tempat awam dan pengangkutan awam yang sesak bermula 1 Ogos.

Orang ramai boleh dikenakan denda RM1,000 di bawah Akta 342 (Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988) sekiranya gagal mematuhi peraturan baharu ini.

Mengenai perkembangan kes Covid-19 Sabah, Mohd Shafie meminta rakyat agar sentiasa mematuhi penjarakan sosial serta memakai pelitup muka demi menghentikan penularan jangkitan Covid-19.

Katanya, wabak ini boleh merebak jika tiada penjarakan sosial dan ini dapat dilihat di negara-negara lain di rantau ini. Malah, negeri lain sudah ada tanda-tanda peningkatan kes.

Semalam, terdapat kes import rakyat tempatan yang pulang dari Pakistan yang disahkan positif.

”Untuk itu, kita akan mengambil langkah dalam sedikit masa lagi untuk pastikan kita kawal secara ketat (kemasukan dari luar negara).

“Wabak ini boleh merebak khususnya daripada rakyat tempatan yang balik dari luar negara,” jelasnya.

Ditanya tentang langkah mewajibkan individu baru balik dari luar negara dikuarantin di pusat kuarantin, Mohd Shafie berkata, pusat kuarantin di Sabah telah dikenal pasti.

Menurutnya, sekarang ini kerajaan menggunakan hotel-hotel yang telah dikenal pasti sebagai pusat kuarantin demi keselesaan individu dan petugas kesihatan.

Disamping itu, pusat kuarantin lain termasuk Kompleks Sukan Kota Kinabalu, Likas juga masih tersedia.