Sabah Ulangi Permintaan Tempatkan Batalion Tentera Di Pantai Timur

Oleh SURAIDAH ROSLAN
KOTA KINABALU: Kerajaan Sabah akan mengulangi permintaan bagi menempatkan batalion tentera di Pantai Timur Sabah berikutan ancaman keselamatan yang kerap berlaku di kawasan perairan berkenaan.

Insiden penculikan terbaharu yang melibatkan tiga nelayan warga Indonesia diculik di perairan Tambisan, Lahad Datu pada Isnin antara penyebab kukuh betapa perlunya batalion tentera ditempatkan di Pantai Timur Sabah.

Ketua Menteri Datuk Seri Panglima Haji Mohd Shafie Apdal berkata, sumber dan aset yang ada perlu diletakkan di tempat yang amat diperlukan, iaitu di Pantai Timur Sabah.

SHAFIE APDAL

”Biarpun berdepan dengan kekangan kewangan, kita tetap perlu memberi keutamaan kepada keselamatan dan kedaulatan negara serta nyawa manusia.

”Bukan kita tidak perlukan batalion tentera di Kem Lok Kawi tapi kalau dari segi pertimbangan, kita perlu memberi keutamaan kepada kedaulatan dan keselamatan yang ada.

”Saya sudah cadangkan banyak kali jadi, saya akan bangkitkan perkara ini dalam sidang Parlimen (akan datang),” katanya ketika ditanya mengenai keperluan menempatkan batalion tentera di Lahad Datu susulan satu lagi insiden penculikan nelayan warga Indonesia di perairan Tambisan pada Isnin.

Beliau berkata demikian ketika ditemui semasa Majlis Perasmian Persidangan Antarabangsa Hari Sungai Sedunia Sabah, di sini pada Selasa.

Menurutnya, semasa zaman pemerintahan BN dahulu, bekas perdana menteri juga telah dijanjikan untuk menempatkan batalion tentera di Pantai Timur Sabah namun, ia tidak ditunaikan.

Untuk itu, beliau akan mengulangi permintaan bagi menempatkan kem serta batalion tentera itu sekali lagi agar ianya dapat direalisasikan.

”Bukan kita mahu memindahkan ibu kota tetapi kita perlukan pertahanan yang rapi. Sistem pertahanan negara kena diatur dengan sebaiknya,” jelasnya.

Beliau, yang juga Pengerusi Majlis Keselamatan Negeri (MKN) Sabah ini berkata, penempatan kem mahupun batalion tentera itu tidak melibatkan soal tanah kerana Sabah mempunyai banyak tanah yang boleh digunakan untuk menempatkan batalion tentera di Pantai Timur Sabah.

”Sabah mempunyai banyak tanah, seberapa luas mereka perlukan, kita boleh sediakan. Apa yang penting adalah kita boleh mencegah jenayah rentas sempadan dengan kewujudan batalion ini.

”Jika ada batalion di sana, dari jauh lagi mereka (penjenayah) tidak berani untuk datang. Tetapi sekiranya cuma ada satu platun tentera yang hanya ada beberapa anggota, ia tidak boleh mencecah anasir luar untuk masuk ke negara kita,” ujarnya.

Mengulas lanjut, Mohd Shafie berkata, kedualatan negara satu perkara yang tidak boleh dianggap remeh dan ia harus menjadi keutamaan dalam keadaan negara berdepan ancaman sebegini.

Katanya, biarpun Tambisan, Lahad Datu bukan kawasan pelancongan namun, ia berada tidak jauh di Lahad Datu maka, kejadian penculikan sebegitu tidak boleh dipandang ringan.

Untuk itu, beliau akan terus memberitahu dan mencadangkan kepada Kerajaan Persekutuan tentang keperluan menempatkan batalion tentera di Pantai Timur Sabah demi meningkatkan keselamatan di kawasan berkenaan.

Pada Isnin, tiga nelayan Indonesia dipercayai di culik dari sebuah bot milik lelaki tempatana ketika berada di perairan Tambisan, Lahad Datu.

Semua mangsa dipercayai diculik tujuh lelaki bersenjata dan bertopeng yang menggunakan dua bot pam pada 12 tengah hari. Penculik dipercayai daripada Kumpulan Culik Untuk Wang Tebusan (KFR).

BERITA BERKAITAN: –

Shafie: Kawasan Penculikan Sangat Terpencil, Kurang Kawalan

Tiga Nelayan Diculik Di Perairan Lahad Datu