Sabah Turut Laksanakan ‘Total Lockdown’

KOTA KINABALU: Kerajaan Sabah memutuskan untuk mengikut jejak langkah persekutuan bagi melaksanakan penutupan penuh sektor sosial dan ekonomi atau ‘total lockdown’.

Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor berkata, keputusan itu dibuat setelah mengambil kira keperluan untuk membendung peningkatan jangkitan Covid-19 di negeri ini.

Beliau berkata, kerajaan negeri akan mengumumkan sektor ekonomi dan perkhidmatan perlu yang dibenarkan beroperasi dalam prosedur operasi standard (SOP) yang akan dikeluarkan dalam masa terdekat.

“Kerajaan negeri menyambut baik pengumuman Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin yang akan melaksanakan total lockdown selama dua minggu bermula 1 hingga 14 Jun ini sesuai dengan keputusan Majlis Keselamatan Negara (MKN) pada petang Jumaat,” katanya dalam satu kenyataan, di sini malam ini.

Lewat petang tadi, pejabat Perdana Menteri mengeluarkan kenyataan bahawa kerajaan memutuskan untuk melaksanakan penutupan penuh sektor sosial dan ekonomi atau ‘total lockdown’ fasa pertama di seluruh negara bagi tempoh 14 hari bermula 1 hingga 14 Jun ini.

Keputusan itu dibuat dalam Sidang Khas MKN mengenai pengurusan Covid-19 yang dipengerusikan oleh Perdana Menteri petang tadi.

Sepanjang tempoh 14 hari itu, semua sektor tidak dibenarkan beroperasi kecuali sektor ekonomi dan perkhidmatan perlu yang akan disenaraikan oleh MKN.

Keputusan tersebut dibuat setelah mengambil kira situasi terkini penularan Covid-19 di Malaysia dengan jumlah kes harian melebihi 8,000 kes dan kes aktif melebihi 70,000 kes.

Setakat ini, seramai 2,552 orang meninggal dunia akibat wabak ini dan jumlah kematian semakin meningkat.