Sabah Tingkat Kesiapsiagaan Hadapi Musim Tengkujuh – Ketua Menteri

PAPAR: Kerajaan Sabah meningkatkan kesiapsiagaan dalam menghadapi bencana termasuk mengenal pasti semua pusat pemindahan sementara (PPS) sebagai langkah memastikan operasi bantuan berjalan lancar menjelang kedatangan musim Monsun Timur Laut, bulan ini.

Ketua Menteri Datuk Hajiji Noor berkata kesiapsiagaan kerajaan Sabah melalui Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri dan Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah ini merangkumi keperluan aset logistik dan sumber manusia melibatkan kerjasama pelbagai agensi yang boleh digerakkan pada bila-bila masa.

“Semua Bilik Gerakan Bencana di setiap daerah telah diaktifkan semula sebagai persediaan menghadapi musim tengkujuh nanti. Selain itu, PBT turut diingatkan agar memastikan parit dan longkang dibersihkan serta memotong pokok bagi mengelak kejadian tidak diingini,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menyampaikan bantuan wang ihsan kepada ketua isi rumah (KIR) mangsa banjir Mukim Labak, Kinarut, yang turut dihadiri Ahli Dewan Undangan Negeri Kawang Datuk Ghulam Haidar Khan dan Setiausaha Kerajaan Negeri Datuk Safar Untong, di sini hari ini.

Menurut Hajiji kerajaan Sabah juga sentiasa berhubung rapat dengan kerajaan Persekutuan melalui Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) dalam menyalurkan peruntukan dan bantuan wang ihsan ketika musim tengkujuh.

Pada majlis itu, Hajiji menyerahkan bantuan wang ihsan RM1,000 kepada 100 KIR yang merupakan sebahagian daripada 446 penduduk terjejas banjir di daerah tersebut pada September lalu.

Secara keseluruhan, kerajaan Sabah memperuntukkan RM1.383 juta bantuan wang ihsan kepada 1,383 KIR di Penampang dan Mukim Labak, Kinarut, dengan seramai 200 orang lagi di Penampang telah menerima bantuan berkenaan pada 5 Nov lepas.

Sementara itu, pada majlis sama Hajiji turut mengumumkan peruntukan RM300,000 bagi tujuan menurap jalan raya kawasan gereja dan dewan St Augustine di Kinarut untuk keselesaan penduduk setempat.