Sabah Tidak Ambil Mudah Ancaman Yang Mungkin Datang Dari Filipina

2272
Shafie (dua kiri) ketika Sidang Media selepas Majlis Penganugerahan Pingat berkenaan, turut kelihatan Ketua Polis Negara Tan Sri Mohamad Fuzi Harun (kiri) dan Pesuruhjaya Polis Sabah Datuk Omar Mammah (dua kanan)

Oleh SURAIDAH ROSLAN
KOTA KINABALU: Kerajaan Negeri Sabah tidak mengambil mudah situasi yang berlaku di Selatan Filipina dalam memastikan keadaan di sana tidak memberi kesan terhadap keselamatan rakyat di negeri ini.

Ketua Menteri merangkap Pengerusi Majlis Keselamatan Negeri (MKN) Datuk Seri Panglima Haji Mohd Shafie Apdal berkata, kerajaan menerusi agensi keselamatan akan sentiasa memantau keadaan yang berlaku di Selatan Filipina.

“Kita tidak boleh mengambil mudah kerana ada elemen yang mungkin tanpa pengetahuan kita, ia memberi ancaman terhadap sempadan negara.

”Tetapi apa yang penting adalah kita dapat bekerjasama secara dekat bagi meningkatkan kawalan keselamatan.

”Saya akan bermesyuarat bersama Duta Filipina tidak lama lagi. Kita akan melihat bagaimana langkah terbaik untuk kita bekerjasama dengan negara jiran demi memastikan keselamatan kedua-dua negara terjamin,” katanya ketika ditanya mengenai pembentukan Wilayah Autonomi Baru Bangsamoro di Selatan Filipina yang mungkin akan memberi kesan terhadap Sabah.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas Majlis Penganugerahan Pingat Kedaulatan Negara PDRM Sabah, di Dewan Undangan Negeri, di sini pada Isnin.

Seramai 953 pegawai dan anggota PDRM Sabah yang bertugas semasa Ops Daulat ketika Pencerobohan di Kampung Tanduo, Lahad Datu menerima pingat dalam majlis berkenaan.

Mohd Shafie berkata, kerajaan juga akan melakukan yang terbaik dalam memastikan keselamatan negeri ini sentiasa terjamin.

Katanya, kerajaan akan memastikan keadaan yang berlaku itu ditangani dengan baik melalui kerjasama dengan negara jiran agar tidak wujud kebimbangan dalam kalangan rakyat Malaysia, terutama di Sabah.

”Ini bukan kali pertama kita berdepan masalah sebegini, sebelum 1975 ketika Perang Sivil berlaku di Filipina,kita sudah berdepan keadaan sebegini.

”Bukan mahu cakap kita patut lebih bersedia, tapi kita tidak boleh mengambil mudah.

”Bagaimanapun kita boleh memberi jaminan tiada kemalangan jiwa akan terlibat berbanding situasi sebelum ini. Tapi kita tidak boleh mengambil mudah,” ujarnya.

Ditanya adakah Kerajaan Negeri akan menjalin kerjasama dengan Selatan Filipina, Mohd Shafie berkata, perkara itu terletak dibawah bidang kuasa Kementerian Luar Negeri.

Kementerian itu selaku badan yang memastikan dasar luar negara dapat dipertingkatkan mungkin akan mengadakan pertemuan dengan negara jiran.

Namun, pertemuan itu mungkin perlu mendapatkan input dari Kerajaan Negeri kerana terdapat banyak rakyat Filipina yang berada dan bekerja di Sabah. Ada antara mereka bekerja dalam sektor pembangunan dan perladangan.

Katanya, itu antara perkara yang perlu dilihat agar bukan hanya aspek keselamatan dapat dipertingkatkan, tetapi ia juga membolehkan ekonomi negeri tidak terjejas tanpa adanya bantuan pekerja dari negara jiran itu.

Ketika ditanya tentang inisiatif lain yang Kerajaan Negeri berikan kepada pejuang-pejuang yang terkorban dalam Ops Daulat, Mohd Shafie berkata, kebajikan keluarga mangsa pejuang negara yang terkorban sentiasa diberi perhatian.

”Kita tahu bila keluarga berdepan dengan keadaan kehilangan ketua keluarga, masa depan anak-anak mereka pasti menjadi kerisauan.

”Oleh itu, mealui Yayasan Sabah kita memberikan biasiswa untuk anak-anak mereka. Kita juga turut memberi bantuan melalui agensi-agensi lain.

”Walau berdepan dengan kekangan kewangan tapi tidak bererti sumbangan kepada keluarga pejuang-pejuang negara ini tidak diberikan,” jelasnya.