Sabah Tidak Akan Leka Dengan Perkembangan Ekonomi Ibu Negara Indonesia Baharu

Oleh AZIS KHAN
KOTA KINABALU: Kerajaan Sabah tidak akan leka dengan jangkaan limpahan ekonomi ibu negara Indonesia baharu di Kalimantan.

Ketua Menteri Datuk Seri Panglima Haji Mohd Shafie Apdal berkata, berikutan itu satu sidang Geostrategik Sabah diadakan bagi membincangkan secara holistik kesan-kesan dihadapi Sabah berikutan perpindahan ibu negara Indonesia ke Kalimantan.

“Hasil lawatan kita ke Kalimantan baru-baru ini, satu usaha penting diperlukan negeri ini untuk memperkukuhkan hubungan serta kerjasama diantara Malaysia khususnya Sabah bersama Indonesia.

“Kerjasama ini penting bagi membolehkan ekonomi kedua-dua wilayah ini dapat seiring membangun.

“Limpahan pembangunan yang dijangkakan hasil perpindahan ibu negara republik itu mampu memberikan impak positif bukan saja kepada kedua wilayah ini tetapi keseluruhan pulau Borneo,” katanya ketika merasmikan Mesyuarat Majlis Keselamatan Negara Negeri Sabah, di sini pada Selasa.

Teks ucapannya disampaikan oleh Timbalan Ketua Menteri merangkap Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Datuk Jaujan Sambakong.

Shafie berkata, hubungan perdagangan diantara Sabah dan Indonesia bukan satu perkara baharu. Statistik Unit Perancangan Ekonomi Sabah menjelaskan nilai eksport Sabah melalui pelabuhan Tawau ke Indonesia dari 2014 sehingga 2017 adalah berjumlah RM170 juta.

Katanya, nilai import pada tempoh yang sama adalah bernilai RM107 juta. Selain itu, seramai 120, 011 warga Indonesia turut berkhidmat di pelbagai sektor ekonomi negeri ini khususnya industri peladangan yang mencatat bilangan terbesar iaitu seramai 68, 796 orang.

Dalam sidang media, Jaujan menjelaskan dalam usaha mencapai pembangunan ekonomi negara khususnya di Sabah, soal keselamatan harus dibincangkan serta diutamakan.

Katanya, soal keselamatan negeri ini tidak hanya berkait dengan soal ketenteraan semata-mata, sebaliknya ia juga melihat ke arah keselamatan kesihatan, sosial, ekonomi serta kebersihan.

“Keselamatan di Sabah khususnya Pantai Timur setakat ini sangat baik walaupun terdapat cerita-cerita mengenainya.

“Hari ini pihak keselamatan kawasan itu khususnya Esscom sentiasa mengadakan kawalan rapi,” katanya.

Hadir sama ialah Timbalan Pengarah Majlis Keselamatan Negara Datuk Rodzi Md Saad.