Sabah Tidak Akan Laksana PKPB Yang Bermula Esok

KOTA KINABALU: Kerajaan Sabah memutuskan untuk tidak melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) seperti yang diumumkan di peringkat kerajaan persekutuan.

Ketua Menteri Datuk Seri Panglima Mohd Shafie Apdal berkata, susulan keputusan itu, Sabah mengekalkan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) tahap 4 yang akan berakhir pada 12 Mei.

Beliau berkata, pendirian ini diambil bagi meneruskan usaha untuk membendung penularan pandemik Covid-19 dan memastikan rakyat tidak terdedah dengan jangkitan virus Covid-19.

“Oleh itu, saya menyeru rakyat untuk terus mematuhi Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) tahap 4 yang sedang berkuatkuasa,” katanya dalam satu kenyataan, di sini hari ini.

Semasa Hari Pekerja pada 1 Mei lalu, Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin mengumumkan kerajaan akan melaksanakan PKPB dengan sebahagian besar aktiviti ekonomi dan sosial dibenarkan mulai 4 Mei (Isnin).

Muhyiddin berkata, langkah itu susulan dua daripada enam strategi dan perancangan kerajaan dalam memerangi wabak iaitu ketegasan dalam tindakan mengawal Covid-19 dan membina ketahanan melalui Pakej Rangsangan Ekonomi Prihatin telah membuahkan hasil.