Sabah Terus Pertingkat Hubungan Kerjasama Dengan Sarawak

920

Oleh SURAIDAH ROSLAN
KOTA KINABALU: Kerajaan Sabah akan terus meningkatkan kerjasama dengan Sarawak dalam pelbagai aspek bagi memastikan kedua-dua negeri mendapat manfaat daripada hubungan baik yang terjalin.

Ketua Menteri Datuk Seri Panglima Haji Mohd Shafie Apdal berkata, hubungan kerjasama antara Sabah dan Sarawak bukan hanya dalam aspek politik tetapi juga dalam bidang keselamatan dan pelancongan.

”Kita akan meningkatkan kerjasama dalam aspek kawalan keselamatan di sempadan Sabah dan Sarawak agar sempadan negara tidak mudah dibolosi.

”Saya melihat kerjasama ini dapat dipertingkatkan pada masa akan datang khususnya di sempadan Sipitang,” katanya ketika ditanya bagaimana kerjasama Sabah dan Sarawak boleh membangunkan kawasan berhampiran sempadan kedua-dua negeri.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita sebaik sahaja tiba dari lawatan kerja di China, di sini pada Rabu.

Mohd Shafie berkata, dibawah Kerajaan Sabah Baharu, kerajaan akan memastikan pembangunan seimbang akan dilaksanakan sehingga ke kawasan Long Pasia dan Pensiangan yang dahulunya agak ketinggalan dari arus pembangunan.

”Untuk maju ke depan, kita perlu melaksanakan pembangunan seimbang. Kita tidak mahu hanya Kota Kinabalu sahaja yang membangun. Kita mahu Long Pasia, Pensiangan juga turut membangun,” ujarnya.

Selain itu, Kerajaan Sabah juga boleh bekerjasama dengan Sarawak dalam mendapatkan bekalan elektrik yang mencukupi.

Katanya, Sarawak mempunyai bekalan elektrik yang mencukupi hingga boleh menawarkan bekalan elektrik sebanyak 2,000 megawatt (MW) ke Brunei Darussalam.

”Sekiranya ada keperluan, Sarawak sanggup membekalkan tenaga elektrik kepada Sabah. Kita akan melihat pilihan yang ada untuk memastikan kerjasama kedua-dua negeri ini dapat dipertingkat dari masa ke semasa,” jelasnya.

Mohd Shafie berkata, Kerajaan Sabah juga boleh bekerjasama dengan Sarawak dalam aspek pelancongan.

Katanya, memandangkan industri pelancongan Sabah agak baik, penggiat industri pelancongan Sabah boleh menawarkan pakej untuk pelancong meluangkan sebahagian masa pecutian di Sabah dan kemudian di Sarawak.

Sementara itu, Mohd Shafie tidak menolak kemungkinan untuk membina sebuah lagi lapangan terbang di Sabah.

“Kita (Kerajaan Sabah & Sarawak) belum lagi berbincang tentang keperluan membina lapangan terbang antarabangsa di kedua-dua negeri.

“Bagaimanapun kita telah mengenalpasti satu tapak di Kimanis bagi pembinaan satu lagi lapangan terbang,” jelasnya.

Beliau berkata, kerajaan sedar Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu (KKIA) mungkin tidak lagi boleh menampung kemasukan pelancong yang semakin ramai.

Katanya, apa yang lebih penting sekarang adalah keperluan menyediakan kemudahan asas seperti bekalan air dan elektrik.