Sabah Terus Gilap Bakat Anak Muda Bersaing Di Peringkat Dunia

92

Oleh SURAIDAH ROSLAN
KENINGAU: Bakat yang ada dalam kalangan atlet muda di negeri ini mampu meletakkan Sabah di patfrom tepat untuk melahirkan atlet yang boleh mewakili Malaysia ke peringkat dunia pada masa akan datang.

Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Haji Mohd Shafie Apdal berkata, Sabah mempunyai kebolehan mencungkil dan melahirkan bakat anak muda dalam pelbagai acara sukan.

JAMES WONG

Beliau berkata, ini terbukti dengan kejayaan anak Sabah, Datuk James Wong yang pernah mewakili Malaysia dalam arena bola sepak di Sukan Olimpik suatu ketika dahulu.

Katanya, jika dilihat atlet dalam Sukan Sea juga ramai atlet dari Sabah yang mewakili Malaysia, misalnya pemain ragbi pasukan kebangsaan yang berasal dari Sabah.

“Ini jelas membuktikan kemampuan Sabah dalam melahirkan atlet yang berjaya di peringkat kebangsaan dan juga dunia.

“Kita sememangnya mempunyai kebolehan mencungkil bakat anak muda dalam arena sukan tanah air, adalah menjadi harapan saya agar kita dapat melahirkan seramai mungkin bakat muda dalam pelbagai acara sukan.

“Saya melihat Sukan Sabah ini antara landasan penting dalam membimbing anak muda bawah 20 tahun untuk menjadi atlet yang berjaya dan mempunyai keinginan untuk meraih pingat emas dalam acara yang dipertandingkan,” katanya ketika berucap dalam Majlis Perasmian Sukan Sabah Kesembilan (SAGA IX) 2019, di Kompleks Sukan Keningau, di sini malam tadi.

Beliau berkata, untuk membangunkan sukan di negeri ini, kerajaan memperuntukkan sejumlah RM24.76 juta bagi kemajuan sukan di Sabah dan RM86.71 juta untuk pembangunan belia.

Mohd Shafie juga menyarankan atlet supaya kekal komited dan berdisiplin dalam sebarang acara sukan yang diceburi agar mereka bukan hanya boleh cemerlang dalam bidang sukan, malah mampu berjaya sebagai pemimpin dalam bidang itu suatu hari kelak.

Beliau berharap atlet yang mewakili 27 daerah dalam SAGA kali ini agar menggunakan landasan yang ada untuk saling kenal-mengenali bagi megukuhkan lagi kesepaduan masyarakat berbilang kaum dan agama di negeri ini.

Katanya, sukan merupakan landasan yang membolehkan masyarakat saling bersatu tanpa mengira latar belakang kaum dan agama.

Tambahnya, sukan adalah mekanisma tepat yang boleh merapatkan hubungan masyarakat antara satu sama lain.

“Adalah menjadi harapan kita, bukan hanya untuk menganjurkan acara sukan sebegini, tetapi juga mampu menyumbang kepada pembangunan industri sukan di negara ini.

“Saya percaya Sabah boleh membangun dalam bidang sukan dan meletakkan Malaysia di peringkat dunia.

“Kita boleh membantu negara bersaing kerana kita punya resepi dan kemudahan sumber kekayaan yang jika dimanfaatkan oleh semua rakyat, ia akan memperlihatkan potensi Sabah dalam arena sukan negara,” ujarnya.