Sabah Terus Bincang Dengan S’wak Tentang Pindaan Perlembagaan

3171

Oleh SURAIDAH ROSLAN
KOTA KINABALU: Kerajaan Sabah akan terus memperjuangkan hak-hak Sabah yang termaktub dalam Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) walau pindaan perlembagaan untuk mengembalikan status rakan sekutu tidak mendapat sokongan 2/3 di Dewan Rakyat pada Selasa.

Ketua Menteri Datuk Seri Panglima Haji Mohd Shafie Apdal berkata, kerajaan akan meneruskan usaha memastikan apa yang dimahukan rakyat Sabah dapat direalisasikan.

”Kita akan memastikan tuntutan seperti usaha mendapatkan 40 peratus hasil cukai dan royalti minyak 20 peratus akan terus diperjuangkan.

”Tuntutan sebegini tidak perlu pindaan undang-undang dan kelulusan parlimen kerana ia memang terkandung dalam perlembagan. Ia hanya perlu dilaksanakan oleh Kerajaan Persekutuan,” katanya ketika ditanya tentang langkah Kerajaan Sabah selepas usaha mengembalikan status rakan sekutu tidak dapat direalisasikan setelah gagal mendapat undian 2/3 Ahli Parlimen di Dewan Rakyat.

Datuk Shafie Apdal di sidang media di Bilik Media Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu pada Rabu.

Beliau yang tiba dari Kuala Lumpur dengan menaiki penerbangan komersil kira-kira 11.45 pagi Rabu di Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu (LTAKK) itu disambut oleh jemaah Kabinet Sabah dan penyokong-penyokong Parti Warisan Sabah (Warisan).

Mohd Shafie, yang juga Ahli Parlimen Semporna ini berkata, beliau akan berbincang dengan rakan pimpinan di Sarawak tentang usaha melakukan pindaan perlembagaan bagi mengembalikan status rakan sekutu berkenaan sekali lagi.

Katanya, sebelum ini penglibatan dan pendapat pemimpin dari Sarawak juga telah diambil kira oleh Pejabat Perdana Menteri (PMO). Malah, dalam ucapan penggulungan Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad juga menyentuh tentang semangat Perjanjian Malaysia 1963.

Ditanya bila dijangka usaha melakukan pindaan Perkara 1(2) Perlembagaan Persekutuan ini dapat dibincangkan semula, beliau berkata, ia bergantung kepada PMO untuk menetapkan tarikh untuk perbincangan semula diadakan.

Ketibaan Ketua Menteri Sabah di Kota Kinabalu pada Rabu disambut oleh Menteri Kabinet, Timbalan Menteri dan ahli-ahli Parti Warisan Sabah.

Beliau berharap perbincangan seterusnya dilakukan semasa kepimpinannya dan semasa Tun Mahathir masih memegang tampuk pentadbiran negara.

”Tun adalah orang yang mengetahui banyak perkara. Malah ketika diajukan soalan berkaitan perlembagaan 1957 dalam persidangan kelmarin, beliau dapat menjelaskan secara baik.Beliau tahu tentang perkara ini kerana beliau juga Ahli Parlimen yang berpengalaman.

”Bagaimanapun, kita akan memastikan usaha (kembalikan status) ini dapat direalisasikan seperti yang dimahukan rakyat Sabah. Bukan hanya pindaan perlembagaan tetapi juga dari segi tuntutan hasil dan royalti minyak,” jelasnya.

Mohd Shafie turut melahirkan penghargaan kepada Tun Mahathir kerana memberi ruang buat pertama kali sejak Malaysia mencapai kemerdekaan untuk mendengar dan membentangkan pindaan perlembagaan ini di Parlimen.

”Ini bukan perkara kecil bagi kita sebab tuntutan ini sudah disuarakan dan diutarakan oleh pemimpin terdahulu namun, kali ini suara kita didengar malah, ia turut dibentangkan di parlimen. Namun, ianya tidak dapat dijayaan kerana jumlah 2/3 sokongan Ahli Parlimen tidak diperolehi.

”Daripada 221 Ahli Parlimen kerana satu kerusi masih kosong, hanya 138 yang menyokong walhal kita memerlukan 148 sokongan untuk membolehkan pindaan perlembagaan dilakukan,” katanya.

Kemudian ditanya adakah tindakan Ahli Parlimen Sarawak tidak mengundi untuk menyokong pindaan dilakukan kerana bermotifkan politik dan tidak mahu Kerajaan Pakatan Harapan (PH) mendapat kredit, Mohd Shafie tidak mahu membuat sebarang tuduhan kerana mereka mengundi melalui blok (Gabungan Parti Sarawak).

“Saya tidak mahu menuduh kerana kita bekerjasama dengan mereka (Kerajaan Sarawak). Saya akan berbincang untuk memastikan pindaan ini boleh dilakukan, itu harapan saya,” jelasnya.