Sabah Terima Kunjungan Menteri China, Beri Impak Positif Kepada Negeri

230
Menteri China Miao WSei bersama Datuk Shafie Apdal dan Darell Leiking, kanan.

Oleh RODELIO JUNJUN TAUCAN
KOTA KINABALU: Sabah menerima impak positif dalam hubungan baiknya dengan kerajaan Republik Rakyat China apabila menerima kunjungan Menteri Industri dan Teknologi Maklumat China, Miao Wei selama dua hari bermula semalam.

Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI), Datuk Darell Leiking berkata, sempena kunjungan berkenaan, kedua-dua pemimpin mengadakan pertemuan bilateral bagi mengukuhkan hubungan dan membincangkan aspek pelaburan yang boleh memberi keuntungan kepada kedua-dua pihak.

“Kedudukan Sabah yang begitu strategik dengan China memungkinkan kuasa ekonomi itu untuk membawa banyak peluang pelaburan kepada Sabah dan melaluinya, banyak peluang pekerjaan baharu boleh dicipta untuk rakyat tempatan,” kata Darrell dalam satu kenyataan.

Menurut Darrell, kehadiran Wei adalah susulan lawatan kerja Ketua Menteri, Datuk Seri Mohd. Shafie Apdal ke negara itu pada April lalu untuk mencari peluang pelaburan kepada Sabah.

Katanya, beliau telah menyampaikan jemputan Ketua Menteri kepada pemimpin berkenaan untuk datang ke Sabah ketika kedua-duanya berjumpa di China.

Consul General China ke Sabah, Liang Caide bersama Miao Wei, Shafie Apdal dan Darell Leiking.

“MITI akan bekerjasama erat dengan kerajaan negeri Sabah untuk memudah cara potensi pelaburan dan perdagangan langsung antara Sabah dan China,” kata Darrell.

Sementara itu, dalam reaksinya, Wei berkata, China amat menghargai hubungan baik dengan Sabah terutama dalam sektor pelancongan dan tumpuan turut diberikan ke dalam aspek perindustrian.

“China merasa gembira dengan hubungan erat ini, dan berterima kasih atas jemputan yang dibuat Darell. Saya dapat melihat sendiri selain mendapat taklimat, prospek yang begitu positif di Sabah.

“Wilayah ini tidak asing lagi bagi pelancong China dan kita mahu dibawa kepada aspek industri dan pembangunan pula,” jelas beliau.