Sabah Terima 1juta Dos Vaksin Sepanjang Julai Ini

KOTA KINABALU: Sabah dijadualkan menerima lebih 1juta dos vaksin Covid-19 pada bulan ini.

Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan, Datuk Seri Panglima Masidi Manjun berkata, sehingga kini, Sabah sudah menerima 747,980 dos termasuk 152,100 dos yang tiba di Sabah semalam.

Beliau berkata, berdasarkan jadual penghantaran, Sabah akan menerima 30,000 dos vaksin esok (23 Julai) dan 308,880 dos lagi dijadualkan tiba pada Rabu depan.

“Kita berharap tiada gangguan dalam proses penghantaran bekalan vaksin pada Ogos dan bulan-bulan seterusnya bagi meningkatkan proses vaksinasi di negeri ini,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Berdasarkan kenyataan Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Hajiji Noor sebelum ini, Sabah dijangka menerima 2.2 juta dos vaksin pada bulan ini dan Ogos.

Mengikut statistik Jawatankuasa Khas Jaminan Akses Bekalan Vaksin COVID-19 (JKJAV) semalam, sehingga kini terdapat 371,520 orang menerima vaksin lengkap Covid-19 atau 13.5 peratus daripada jumlah individu yang berdaftar.