Sabah Sokong Usaha LHDN Pungut Cukai Secara Efektif, Efisien

638

KOTA KINABALU: Kerajaan negeri Sabah memberi jaminan akan menyokong usaha Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) dalam memastikan tiada ketirisan dalam pungutan cukai.

Ketua Menteri Datuk Seri Mohd Shafie Apdal berkata pungutan cukai oleh LHDN penting dalam menyumbang hasil kerajaan membangunkan negara dan pelaksanaan program untuk manfaat rakyat.

Katanya sebab itu penting untuk memastikan LHDN melaksanakan pungutan cukai secara efektif dan efisien.

“Kita memberikan kerjasama penuh kepada LHDN disebabkan jika tiada kesefahaman akan mewujudkan unsur ketirisan dalam pungutan hasil cukai,” katanya pada Majlis Sepetang LHDN Bersama Ketua Menteri Sabah di sini, hari ini.

Turut hadir Ketua Pegawai Eksekutif LHDN Datuk Seri Sabin Samitah.

Menurut Mohd Shafie, menjadi dasar penting kepada kerajaan negeri Sabah untuk menjalin kerjasama bersepadu dengan LHDN sebagai sebuah agensi dibawah kerajaan persekutuan.

Katanya biarpun beliau memberi kepentingan terhadap pentadbiran kerajaan negeri membangunkan Sabah tetapi pada masa sama kerjasama dengan kerajaan persekutuan sentiasa diutamakan.

“Saya yakin adanya keseimbangan dalam kerjasama penting dalam mencapai matlamat menjadikan negara maju dan kehidupan rakyat terjamin,” katanya.

Terdahulu Sabin berkata sebagai pengutip cukai bagi pihak kerajaan, LHDN memberikan penekanan dalam aspek pungutan cukai di negara ini.

Beliau berkata pungutan cukai oleh LHDN menyumbang kepada 42 peratus dana kerajaan.