Sabah Softwoods Didenda RM100,000

Oleh ARDYHANSAH AMAT
TAWAU: Mahkamah Sesyen hari ini memerintahkan Sabah Softwoods membayar denda RM100,000 atau enam bulan penjara jika gagal membayarnya selepas mengaku bersalah gagal mempraktikkan keselamatan, kesihatan dan kebajikan pekerjanya.

Bagi pertuduhan pertama, Sabah Softwoods didakwa gagal untuk memastikan setakat yang praktik, keselamatan, kesihatan dan kebajikan semasa bekerja kepada pekerjanya dengan tidak mengadakan penyeliaan semasa membuat kerja kimpalan.

Manakala bagi pertuduhan kedua pula, syarikat itu telah gagal untuk memastikan setakat yang praktik, keselamatan, kesihatan dan kebajikan semasa bekerja kepada pekerjanya dengan tidak mengadakan Sistem Kerja Selamat yang lengkap untuk kerja kimpalan secara am sebagaimana yang perlu untuk memastikan keselamatan dan kesihatan pekerjanya semasa membuat kimpalan.

Sehubungan itu, syarikat berkenaan didakwa melakukan kesalahan mengikut Seksyen 15 Akta Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan 1994 (Akta 514) yang memperuntukkan hukuman denda tidak lebih RM50,000 atau penjara tidak lebih dua tahun atau kedua-duanya.

Sabah Softwoods yang diwakili Pengurus Besarnya mengaku bersalah atas kedua-dua pertuduhan.

Hakim Awang Kerisnada Awang Mahmud kemudian menjatuhkan hukuman denda sebanyak RM50,000 gagal bayar penjara enam bulan bagi setiap pertuduhan.

Berdasarkan fakta kes yang dibacakan, pada 13 Jun 2018, seorang daripada pekerja syarikat berkenaan maut akibat renjatan elektrik.

Pendakwaan dilakukan Pegawai Pendakwa Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan Sabah Mohd Fairul Azwan Ismail dan Mohd Nasir Fi’i manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Habis