Sabah Siap Siaga Hadapi Banjir Menjelang Musim Tengkujuh – Hajiji

PENAMPANG: Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Noor menggesa kesiapsiagaan menghadapi bencana ditingkatkan di seluruh negeri menjelang kedatangan musim Monsun Timur Laut, bulan ini.

Beliau berkata semua Jawatankuasa Pengurusan Bencana negeri telah diarahkan agar bersiap siaga dan menyediakan logistik termasuk pusat pemindahan sementara (PPS) di semua daerah.

“Kerajaan negeri juga bekerjasama rapat dengan kerajaan Persekutuan melalui Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) terutama dalam menyalurkan bantuan kewangan dan peruntukan pada waktu bencana ketika musim tengkujuh ini.

“Kerajaan sentiasa mengutamakan kebajikan rakyat tanpa mengira latar belakang, seiring dengan semangat Keluarga Malaysia, yang menggariskan tiga teras utama iaitu keterangkuman, kebersamaan dan kesyukuran” katanya di Pusat Kebudayaan Sabah di sini hari ini.

Terdahulu, beliau menyampaikan bantuan wang tunai RM1,000 kepada 200 ketua isi rumah yang terjejas akibat banjir pada September lepas. Baki 737 ketua isi rumah akan menerima bantuan kewangan tersebut dalam tempoh dua minggu.

Sementara itu, Hajiji berkata program tebatan banjir di daerah itu sedang dijalankan.

“Kerajaan akan memastikan projek tersebut disiapkan dengan dua daripada tiga pakej tebatan banjir itu telah siap setakat ini,” katanya.