Sabah Sedia Latihan Antarabangsa Biodiversiti, Pemuliharaan Ekosistem

834
Sukarti Wakiman
Sukarti Wakiman

KOTA KINABALU – Setiausaha Kerajaan Negeri Tan Sri Sukarti Wakiman berkata Sabah mahu terus menjadi tempat latihan antarabangsa yang konsisten bagi biodiversiti bersepadu dan latihan pemuliharaan ekosistem.

Sehubungan itu, beliau berharap penganjuran program latihan seperti kursus biodiversiti bersepadu dan pengurusan ekosistem ditingkatkan lagi oleh agensi kerajaan berkaitan di negeri ini.

“Bagi pihak Kerajaan Negeri Sabah, saya bangga untuk menyebut bahawa Sabah telah menjadi tempat latihan antarabangsa yang penting untuk biodiversiti bersepadu dan latihan pemuliharaan ekosistem,” katanya pada majlis penutupan pusingan ketiga Program Latihan Negara Ketiga (TCTP) di Universiti Malaysia Sabah (UMS) di sini, Selasa.

Teks ucapan Sukarti dibacakan oleh Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni) UMS Prof Dr Ismail Ali.

Turut hadir Institut Biologi Tropika dan Pemuliharaan (IBTP) UMS Dr Charles S. Vairappan dan Wakil Agensi Kerjasama Antarabangsa Jepun (JICA) Malaysia Tomoko Miyagawa.

Mengenai TCTP, Sukarti berkata program berkenaan dianjurkan bersama oleh Kerajaan Sabah, Kementerian Luar Negeri Malaysia, IBTP UMS dan JICA Malayisa.

Beliau berkata para peserta berpeluang mengikuti pelbagai ceramah oleh ahli akademik dari universiti, pakar agensi-agensi kerajaan dan badan bukan kerajaan (NGO) yang terlibat secara langsung dalam usaha pemuliharaan di Sabah.

“Saya juga dimaklumkan bahawa peserta menjalani beberapa siri perbincangan dan bengkel untuk mengemukakan cadangan projek atau pelan tindakan bagi negara mereka sendiri dengan mencontohi dan mengambil kira pengalaman, pengetahuan yang mereka telah pelajari di Sabah,” katanya.

Sejumlah 20 peserta dari lapan negara termasuk India, Uganda, Myanmar, Sri Lanka, Vietnam, Filipina dan Thailand mengikuti program TCTP 2016 selama 21 hari bermula 8 Sept lepas di negeri ini.

Program berkenaan meliputi lawatan lapangan ke pelbagai rizab hutan kawasan dilindungi, berinteraksi dengan masyarakat tempatan di pedalaman dan pinggir kawasan yang dilindungi serta bertemu mereka yang terlibat dalam usaha pemuliharaan di peringkat akar umbi.