Sabah Sedang Bersedia Untuk Laksana Gelembung Perjalanan

Oleh SURAIDAH ROSLAN
KOTA KINABALU: Kementerian Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar sedang bersiap sedia untuk melaksanakan gelembung perjalanan atau ‘travel bubble’ dalam tempoh terdekat ini.

Bagaimanapun, ia bergantung kepada keadaan semasa dan sehingga negeri Sabah berada pada tahap Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP).

Menterinya, Datuk Jafry Arifin berkata, diharap program vaksinasi berjalan dengan lancar bagi membendung pandemik Covid-19 agar sektor pelancongan dapat digerakkan semula bagi menjana ekonomi negeri.

Katanya, pelaksanaan vaksinasi secara berkesan akan menjadi faktor utama ke arah pembukaan sempadan, normalisasi aktiviti perjalanan dan pelancongan antarabangsa.

Dalam pada itu, beliau menyambut baik kelonggaran untuk membuka semula sektor pelancongan di kawasan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) dengan kapasiti premis 50 peratus dan perlu ada penjarakan fizikal.

Beliau berkata, antara premis yang diberi kebenaran untuk beroperasi adalah zoo, akuarium, pusat ‘edutainment’, taman semula jadi, sukan ekstrem, rekreasi dan ladang.

Turut dibenarkan beroperasi adalah premis seni budaya dan warisan seperti perpustakaan, muzium, galeri seni, pentas persembahan budaya, pusat hiburan keluarga dan taman tema luar dengan prosedur operasi standard (SOP) yang ketat.

Beliau turut menyarankan pelancong dan pemain industri pelancongan agar sentiasa peka dengan kesihatan diri dan keadaan sekeliling dan mematuhi SOP yang ditetapkan.

Sementara itu, premis pelancongan hendaklah bersedia menerima pengunjung dengan persediaan sewajarnya.

Tambahnya, pandemik Covid-19 ini akan terus berada di sekililing masyarakat bagi tempoh masa yang tidak dapat dijangka.

“Oleh itu, kita perlu kekal berdisiplin mengamalkan norma baharu dalam menjalankan aktiviti pelancongan bagi memastikan keselamatan individu, keluarga dan masyarakat terjamin,” jelasnya.