Sabah, Sarawak Sepatutnya Miliki Lebih Satu Pertiga Jumlah Kerusi Parlimen

KUCHING: Ketua Menteri Sarawak, Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg menegaskan Sabah dan Sarawak sepatutnya mempunyai lebih daripada satu pertiga daripada keseluruhan kerusi Parlimen yang ada di negara ini.

Beliau berkata, Kerajaan Sarawak telah membangkitkan perkara itu kepada Jawatankuasa Pembaikan Sistem dan Undang-undang Pilihan Raya (ERC) yang dipengerusikan bekas Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) Tan Sri Ab. Rashid Ab. Rahman.

ERC yang ditubuhkan pada Ogos 2018 ditugaskan menghasilkan laporan komprehensif mengandungi kertas kerja pembaikan pilihan raya termasuk sistem, proses pilihan raya dan pindaan undang-undang.

“Sarawak dan Sabah mesti ada lebih satu pertiga kerusi Parlimen,” katanya dalam sidang akhbar seperti dilaporkan portal Free Malaysia Today (FMT) hari ini.

Ketika ini, Sarawak mempunyai kuota 31 kerusi Parlimen manakala Sabah sebanyak 25 kerusi.

Semasa Persekutuan Malaysia ditubuhkan pada tahun 1963, Malaya mendapat dua pertiga kerusi Parlimen manakala satu pertiga oleh Sabah, Sarawak dan Singapura.

Pada masa itu Malaya memiliki 104 kerusi, Sarawak (24), Sabah (16) dan Singapura 15 kerusi.

Bagaimanapun, selepas Singapura meninggalkan Malaysia, 15 kerusi tersebut tidak diberikan kepada Sabah dan Sarawak.

“Sebelum ini, ketika Singapura masih ada, kita memiliki lebih satu pertiga tetapi sekarang kurang daripada satu pertiga,” katanya.

Katanya, Putrajaya perlu mendapat sokongan daripada Sabah dan Sarawak terutama apabila Perlembagaan Persekutuan mahu digubal bukannya terhad kepada Malaya sahaja.