Sabah, Sarawak Patut Ada Satu Pertiga Jumlah Kerusi Dewan Negara

DR SHAD SALEEM

Oleh RODELIO JUNJUN TAUCAN
KOTA KINABALU: Reformasi Dewan Negara perlu dilakukan dengan menambah jumlah Senator dari Sabah dan Sarawak kepada sekurang-kurangnya satu pertiga daripada jumlah keseluruhan yang ada.

Pakar Perlembagaan, Prof. Emeritus Datuk Dr. Shad Saleem Faruqi berkata, kedua-dua negeri layak mendapat hak itu kerana keistimewaan yang yang dimiliki semasa membuat keputusan untuk membentuk Malaysia bersama Malaya dan Singapura.

Beliau yang membentangkan tajuk Reformasi Sistem Parlimen dan Pilihan Raya Malaysia daripada konteks perundangan sempena Forum Hari Malaysia 2019 bertajuk 56 Tahun Malaysia: Ke Arah Masa Hadapan berkata, apa yang telah dijanjikan dalam Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) perlu ditunaikan.

“Ketika ini kita ada 222 Parlimen dengan jumlah majoriti 112 kerusi, Sabah dan Sarawak ada 56 kerusi iaitu 50 peratus daripadanya, jika mahu membuat reformasi lebih baik berikan mereka lebih banyak kerusi Senator sekurang-kurangnya satu pertiga agar tiada pindaan yang boleh diluluskan tanpa persetujuan mereka.

“Saya rasa perbincangan sedang dilakukan oleh kerajaan sekarang dan saya rasa perlu ada satu kertas kerja tentang Senator kepada Sabah,” katanya ketika ditemui Borneo Today dalam forum itu hari ini.

Shad Saleem berkata, layanan istimewa yang diberikan kepada Sabah dan Sarawak adalah perkara biasa di mana-mana negeri apabila ada wilayah tertentu yang diberikan kuasa autonomi.

Lebih-lebih lagi katanya, dengan geografi Sabah serta Sarawak yang lebih besar berbanding Semenanjung serta kepelbagaian kaum di kedua-dua negeri, maka lantikan Senator perlu lebih banyak agar semua kaum itu mempunyai wakil.

“Untuk membentuk Malaysia telah dipersetujui Sabah, Sarawak dan Singapura akan mendapat keistimewaan yang bukanlah luar biasa di kebanyakan negara contohnya Wilayah Qubec di Kanada ada kuasa khas, Wilayah Kashmir di India dan di Filipina beberapa pulau telah diberikan kuasa autonomi, ini disebut sifat asimetri yang berlaku di seluruh dunia jika ada wilayah yang berbeza bangsa, agama serta bahasa.

“Sarawak sendiri hampir sebesar Malaysia Barat, jika Sabah Sarawak bergabung ini wilayah yang lebih besar jadi sudah tentu (mempunyai hak) sumber kewangan, hutan simpan dan hidroelektrik, maka Sabah Sarawak bersama Malaya telah bersetuju terma khas dan saya rasa perjanjian itu mesti ditepati,” katanya.