Sabah Sambut Baik Keputusan Mahkamah Tolak Permohonan Petronas

11059

SEPANGGAR: Kerajaan Sabah menyambut baik keputusan Mahkamah Persekutuan yang menolak permohonan Syarikat Petroliam Nasional Bhd (Petronas) untuk memulakan prosiding undang-undang terhadap kerajaan Sarawak berhubung hak syarikat minyak negara itu mengawal selia aktiviti cari gali dan perlombongan minyak dan gas di negeri itu.

Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Mohd Shafie Apdal berkata sebarang perjanjian antara Petronas dengan kerajaan negeri di Sabah dan Sarawak tidak boleh membelakangkan hak dua negeri itu dalam Perlembagaan Malaysia.

Perlembagaan akan kekal tidak berubah. Hak Sabah dan Sarawak untuk mencari gali sumber di negeri masing-masing masih termaktub dalam Perlembagaan.

Kalau nak ubah Perlembagaan, ia mesti melalui Parlimen dahulu,katanya kepada pemberita ketika ditemui pada Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri anggota Parlimen Sepanggar Datuk Mohd Azis Jamman di sini, Sabtu.

Pada Jumaat, Mahkamah Persekutuan menolak permohonan Petronas itu selepas memutuskan Mahkamah Persekutuan tidak boleh mendengar perkara itu kerana relif perisytiharan yang dipohon syarikat minyak negara itu tidak termaktub di bawah bidang kuasa Mahkamah Persekutuan, tetapi Mahkamah Tinggi.

Dalam pada masa itu, Datuk Shafie berkata, satu jawatankuasa khas akan ditubuh bagi mengendalikan proses kelulusan pembangunan hartanah di Sabah.

Beliau berkata langkah itu bagi mempercepatkan proses kelulusan bagi membolehkan pembangunan sektor berjalan lancar, sekali gus memberi manfaat ekonomi kepada negeri.

Datuk Shafie berkata butiran lanjut mengenai penubuhan jawatankuasa itu akan diputuskan dalam masa terdekat.

Beliau juga meminta pemaju kawasan komersil seperti pusat membeli-belah supaya menawarkan kadar sewa kedai yang berpatutan bagi membolehkan lebih ramai peniaga membuka kedai di kawasan berkenaan.