Sabah Rekodkan 741 Unit Rumah Mewah Tidak Terjual

Chua (tengah) bersama Pengerusi Penganjur Propex19 Seth Quek Teck Seng (tiga kiri) dan ahli jawatankuasa Shareda yang lain.

Oleh SURAIDAH ROSLAN
KOTA KINABALU: Persatuan Pemaju Perumahan & Hartanah Sabah (Shareda) tidak melihat isu lambakan rumah mewah di Sabah sebagai isu yang serius jika berbanding negeri lain di Semenanjung Malaysia.

Timbalan Presiden Shareda Datuk Chua Soon Ping berkata, bagaimanapun sehingga kini, terdapat 741 unit rumah mewah tidak terjual di Sabah daripada 3,855 unit yang siap dibina.

Beliau berkata, hanya 19.22 peratus rumah mewah tidak terjual yang direkodkan di Sabah dengan nilai keseluruhan RM467.57 juta.

Katanya, jumlah itu termasuk 395 unit kondominium, 148 unit banglo dan Semi-D serta 135 unit rumah teres dua dan tiga tingkat.

Oleh itu, beliau berharap menerusi Pameran Hartanah Sabah 2019 (Propex 19), rumah mewah tidak terjual itu dapat dipromosikan kepada pembeli di Sabah.

Katanya, pameran hartanah itu dilihat akan dapat membantu pemaju perumahan di Sabah menjual lambakan rumah mewah yang ada.

“Dengan membeli rumah sekarang, pembeli akan menikmati manfaat yang dibawah Kempen Pemilihan Rumah (HOC), pelepasan duti setem dan diskaun daripada pemaju,” katanya ketika ditanya mengenai isu lambakan rumah mewah di Sabah.

Beliau berkata demikian semasa sidang media sempena Pameran Hartanah Sabah 2019 (Propex 19), di sini pada Jumaat.

Chua berkata, keadaan lambakan rumah mewah di Sabah tidak seteruk di Lembah Klang, Johor, Perak dan Selangor.

“Ini mungkin disebabkan pemaju di Sabah sentiasa peka dengan kehendak pasaran dan proses penyiapan rumah di Sabah mengambil sedikit masa,” ujarnya.

Chua berkata, lambakan rumah berlaku antara lain disebabkan kelulusan pinjaman bank yang kini berada pada tahap 40 hingga 50 peratus sahaja.

Katanya, peratusan kelulusan pinjaman yang rendah ini berikutan kedudukan kewangan pembeli yang tidak stabil hingga menyebabkan pinjaman mereka terpaksa ditolak oleh bank.

Mengulas lanjut, Shareda mencadangkan kepada Kerajaan Sabah agar membenarkan pembeli warga asing memiliki rumah di Sabah dengan nilai RM1juta bagi dua unit rumah dibawah Program Malaysia Rumah Keduaku (MM2H).

Beliau berkata, langkah itu akan membantu mengurangkan masalah lambakan rumah yang berlaku di negeri ini.

Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Zuraida Kamaruddin pada 16 September lalu dipetik berkata, kerajaan akan membuka HOC kepada pembeli warga asing bagi menyelesaikan isu lambakan rumah mewah tidak terjual di Malaysia.

Langkah itu diambil bagi mencairkan ekonomi negara dan membuka lebih peuang kepada pemaju untuk merancakkan projek pembangunan perumahan mampu milik di negara ini.

(Visited 1 times, 1 visits today)