Sabah Pertimbang Gugur Istilah ‘Negeri’ lepas Pindaan Diluluskan

6563

Oleh SURAIDAH ROSLAN
KOTA KINABALU: Kerajaan Negeri Sabah akan mempertimbangkan untuk menggugurkan istilah ‘Negeri’ sekiranya pindaan Perkara 1(2) Perlembagaan Persekutuan mendapat sokongan di Dewan Rakyat.

Bagaimanapun, pengiktirafan itu akan dilakukan apabila tiba pada waktunya, kata Ketua Menteri Datuk Seri Panglima Haji Mohd Shafie Apdal.

Beliau berkata, apa yang penting pada waktu ini adalah untuk mendapatkan sokongan wakil rakyat di Dewan Rakyat bagi membolehkan pindaan dalam Perkara 1(2) Perlembagaan Persekutuan untuk menjadikan Sabah, Sarawak dan Semenanjung Malaysia sebagai rakan sekutu dapat direalisasikan.

”Apa yang penting sekarang kita mahu memastikan apa yang dikehendaki rakyat dan apa yang dijanjikan dalam Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) dapat ditunaikan sebab ada antara perkara tidak ditunaikan seperti perlembagaan itu (pindaan Perkara 1(2)).

”Apa yang penting kedudukan Sabah dan Sarawak itu dapat pengiktirafan. Walau kita tahu (Sabah & Sarawak) bukan lagi sebuah negara seperti dahulu, tetapi sebuah Wilayah yang ada kelainan dari segi kedudukan (autonomi).

”Kedudukan seperti bidang kuasa imigresen dan kuasa memungut hasil cukai tanah dan beberapa perkara yang termaktub dalam MA63,” katanya ketika ditanya adakah Kerajaan Negeri bercadang menggugurkan istilah ‘Negeri’ sekiranya pindaan Perkara 1(2) Perlembagaan Persekutuan yang akan dibentangkan mendapat keluluskan di Dewan Rakyat.

Beliau berkata demikian ketika Taklimat Khas Program Pengakuan Sukarela Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) bersama Gabungan Persatuan Cina Sabah (FCAS), di sini pada Ahad.

Mengulas lanjut, Mohd Shafie berkata, rakyat Malaysia di Sabah sudah lama menunggu kedudukan itu (Wilayah) dan ianya pasti jadi menjadi perkara yang dekat dihati rakyat untuk ditunaikan.

”Itu adalah langkah penyatuan rakyat supaya rakyat tidak terpinggir. Kita mahu menyentuh hati rakyat Malaysia di Sabah dan Sarawak sebab ianya (kedudukan sebagai Wilayah) sudah dijanjikan dahulu,” ujarnya.

Pada 8 Mac, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-undang) Datuk Liew Vui Keong berkata, Kabinet Persekutuan bersetuju membuat pindaan dalam Perkara 1(2) Perlembagaan Persekutuan bagi menjadikan Sabah, Sarawak dan Semenanjung Malaysia sebagai rakan sekutu.

Liew berkata, pindaan itu akan dibentangkan melalui Jawatankuasa Teknikal dan Jawatankuasa Kerja MA63 di Dewan Rakyat pada persidangan kali ini.

Mengenai program itu, Mohd Shafie menyarankan komuniti peniaga di Sabah supaya tampil untuk membayar cukai agar pembangunan berterusan dapat dilaksanakan di negeri ini melalui hasil cukai yang diperolehi.

Beliau berkata, cukai adalah komponen penting kerana separuh daripada hasil negara datangnya daripada hasil kutipan cukai.

”Apabila kerajaan mendapat hasil, ia akan dipulangkan kepada rakyat melalui pembangunan yang dilaksanakan dalam beberapa sektor. Hasil cukai ini bukan hanya digunakan bagi pembangunan prasarana tetapi juga pembangunan dalam industri tertentu,” ujarnya.

Terdahulu dalam ucapannya, Mohd Shafie meminta agar hasil yang lebih banyak diberikan kepada Sabah.

”Kalau hasil cukai banyak dari Sabah sepatutnya peruntukan kepada Sabah juga diperbanyakkan. Ini untuk membolehkan kita melaksanakan pembangunan di Sabah kerana kita memerlukan air terawat. Kita mahu hasil yang ada diberikan kepada Sabah bagi membolehkan pembangunan dilaksanakan,” jelasnya.