Sabah Pertimbang Buka Sektor Pelancongan Untuk Negara Zon Hijau

Oleh JENNIFER TUGUNG MICHAEL
KOTA KINABALU: Sabah sedang mempertimbangkan untuk membuka semula pintu kepada pelancong asing dari negara daripada zon hijau mulai 1 September depan.

Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar, Datuk Christina Liew bagaimanapun berkata, pembukaan itu masih dalam proses perancangan.

“Bulan September ini adalah sasaran kita untuk membuka semula pintu kepada pelancong asing tetapi itu hanyalah sasaran kita.

“Belum pasti lagi kerana jika tiba-tiba berlaku lagi penularan Covid-19,kita tidak tahu tetapi ini adalah sasaran kita,”katanya ketika melawat pasar malam Api-Api semalam.

Mengulas lanjut, beliau berkata, pihaknya juga telah berbincang bersama Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) kumpulan AirAsia, Tan Sri Tony Fernandes untuk mengenal pasti negara-negara yang dirasakan selamat.

Katanya, Sabah juga akan bekerjasama dengan negara luar secara kerajaan dengan kerajaan (G2G) untuk menarik kemasukan pelancong asing ke negeri ini.

“Kita akan lebih berhati-hati dan memilih, kita akan bekerjasama dengan negara atau wilayah misalnya China iaitu di mana ada kerjasama G2G.

“Pelancong terbesar kita adalah negara China, bukan semua wilayah negara itu terjejas dengan Covid-19, kami berpendapat terdapat kawasan atau wilayah di China yang boleh diterokai untuk menjemput mereka datang ke Sabah,”katanya.

Menurutnya, kebanyakan negara jiran seperti Thailand,Kemboja dan Singapura juga merancang untuk membuka pintu sempadan bermula bulan ini dan Ogos depan, namun demi keselamatan, pihaknya merancang untuk membuka pintu sempadannya pada September ini.

Tambahnya beliau, kerajaan Sabah mengalu-alukan kehadiran pelancong asing demi menjana semula ekonomi di negeri ini, namun keselamatan dan kesihatan rakyat sentiasa diutamakan.