Sabah Pertimbang Benar Kemasukan Pelancong Singapura Melalui Travel Bubble

Gilbert (kanan) memberi penerangan kepada Jafri (kiri) mengenai Chalet premium [email protected] Island Resort & Spa.

Oleh SURAIDAH ROSLAN
KOTA BELUD: Kerajaan Sabah sedang mempertimbangkan cadangan untuk membawa masuk pelancong dari Singapura ke Kota Kinabalu menerusi kaedah gelembung perjalanan (travel bubble).

Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar, Datuk Jafri Ariffin berkata, pelaksanaan travel bubble itu dijangka akan dapat dilakukan selepas Hari Raya Aidilfitri.

Buat masa ini, kementeriannya sedang menunggu keputusan Kabinet Negeri untuk memberi kebenaran untuk pelaksanaan gelembung perjalanan ini.

“Perbincangan telah dilakukan dengan Sutera Harbour Resort bagi membawa pelancong dari Singapura menggunakan kaedah perjalanan yg selamat secara berasingan dari Singapura ke Kota Kinabalu dan Pulau Mantanani.

“Di peringkat kementerian, kita sedang memperhalusi perkara ini dengan pemegang taruh seperti Malaysia Airport Berhad bagi membolehkan kita memperketatkan prosedur operasi standard (SOP).

“Kita juga sedang menunggu keputusan kerajaan Persekutuan yang akan berbincang dengan Kementerian Luar Singapura.

“Ketika ini pergerakan yang dibenarkan di Sabah masih mengikut zon dan mungkin dalam masa terdekat kita akan melihat keperluan membenarkan pergerakan mengikut negeri,” katanya ketika ditemui selepas pelancaran Chalet Premium [email protected] Island Resort & Spa, di sini hari ini.

Terdahulu dalam ucapannya, Jafri berkata, Sutera Harbour Resort adalah agensi pertama yang melaksana gelembung perjalanan di Sabah dan ianya boleh dijadikan asas bagi penggiat industri yang ingin melaksana kaedah perjalanan yang sama semasa Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) ini.

Menurutnya, kementerian itu amat komited dalam ‘menghidupkan semula’ industri pelancongan serta meningkatkan keyakinan masyarakat untuk kembali melancong dalam suasana norma baharu.

Katanya, pandemik Covid-19 menyebabkan industri pelancongan domestik terjejas teruk. Maka, pelan pemulihan pelancongan telah diperkenalkan sebagai komitmen kerajaan untuk memulihkan kembali industri ini.

“Saya percaya pelancaran chalet premium ini akan memberi impak yang pelbagai kepada masyarakat tempatan termasuk menyediakan lebih banyak peluang pekerjaan,” ujarnya.

Mengenai cadangan Presiden Persatuan Ejen-Ejen Pelancongan dan Pengembaraan Malaysia (MATTA), Datuk Tan Kok Liang agar tempoh masa ditetapkan untuk membuka semula sempadan negeri, Jafri meminta penggiat industri untuk memberi sedikit masa kepada kerajaan untuk membincangkan tentang pembukaan sempadan bagi membenarkan aktiviti merentas daerah dan negeri ini.

Turut hadir adalah Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pintasan Fairuz Renddan, Setiausaha Tetap Kementerian Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Dr Jamili Nais, Pengurus Besar Lembaga Pelancongan Sabah (STB) Noredah Othman, Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Kumpulan Sutera Harbour, Gilbert Ee dan Timbalan CEO Sutera Harbour, Gerard Tan.